BANTING 15 Januari 2026 – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turun padang malam tadi bagi menyertai Operasi Terancang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikenali sebagai Ops Vape di sebuah kilang pembuatan elektronik di Teluk Panglima Garang, Banting.

Operasi bersepadu itu melibatkan Bahagian Siasatan Khas JPN, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Kira-kira 500 pekerja kilang telah diperiksa, dan operasi berjaya mengesan beberapa kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 serta pelanggaran berkaitan pekerja asing di bawah Akta Kerja.
Dalam hantaran di platform X, Saifuddin Nasution menyatakan operasi itu bukan sekadar gimik atau satu kali sahaja, sebaliknya dilaksanakan secara berhemah dan berfokus selaras dengan prinsip Kerajaan MADANI yang menekankan tadbir urus berintegriti, keadilan serta keselamatan untuk semua.
Beliau turut mengucapkan syabas kepada pasukan JPN, JIM dan JTK serta mengucapkan terima kasih kepada wakil media yang hadir membuat liputan.
Pada masa sama, Menteri menyeru majikan dan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang serta tidak berkompromi dalam isu penyalahgunaan dokumen pengenalan diri bagi menjaga keselamatan negara dan keharmonian masyarakat.
