SHENZHEN, China, 14 Januari 2026 /PRNewswire/ — ZTE Corporation (0763.HK / 000063.SZ), penyedia bagi penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi bersepadu global yang terkemuka, sekali lagi memperoleh skor “A” bagi perubahan iklim daripada CDP dan disenaraikan pada kedudukan antara 4% syarikat teratas pada peringkat global.

Ini menyaksikan tahun ketiga berturut-turut ZTE menerima kedudukan tertinggi CDP dan menjadikannya sebagai satu-satunya syarikat di tanah besar China yang mencapai penghormatan ini selama tiga tahun berturut-turut sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pengiktirafan ini bukan sahaja menonjolkan penghargaan antarabangsa yang kukuh terhadap tadbir urus alam sekitar dan tindakan iklim ZTE, bahkan turut mengetengahkan kepimpinan syarikat ini sebagai perintis industri dalam memajukan peralihan global menuju ekonomi rendah karbon.
CDP, iaitu platform antarabangsa autoritatif bagi pendedahan maklumat alam sekitar membangunkan sistem pengukuran yang diiktiraf pada peringkat global untuk menilai kemajuan korporat berhubung tindakan iklim, ketelusan dan prestasi yang komprehensif. Skornya digunakan secara meluas untuk memaklumkan keputusan pelaburan dan juga perolehan. Pada tahun 2025, lebih 22,100 syarikat pada peringkat global — mewakili lebih separuh daripada permodalan pasaran dunia — mendedahkan data berkaitan perubahan iklim, hutan serta keterjaminan air melalui CDP. Penerimaan skor “A” yang tertinggi menunjukkan bahawa sesebuah syarikat disenaraikan pada kedudukan antara 4% teratas pada peringkat global bagi tadbir urus iklim, penetapan sasaran, keberkesanan tindakan dan juga keupayaan pengurusan risiko.
ZTE mengintegrasikan prinsip-prinsip hijau dan rendah karbon secara mendalam pada strategi pembangunannya, lalu membuka “laluan digital hijau” melalui empat dimensi utama — Operasi Hijau, Rantaian Bekalan Hijau, Infrastruktur Digital Hijau dan Pemerkasaan Hijau — bagi membantu pelbagai industri mempercepat transformasi hijau mereka.
Bagi Operasi Hijau, ZTE melaksanakan beberapa inisiatif penjimatan tenaga dan pengurangan emisi, lantas menghasilkan penjimatan elektrik mutlak sebanyak 45 juta kWj. Syarikat ini mencatatkan pengurangan sebanyak 13.4% bagi emisi Skop 1&2 berbanding tahun sebelumnya. Produk-produk telekomunikasinya menyaksikan pengurangan sebanyak 8.39% bagi keamatan emisi fizikal semasa fasa penggunaan dan penyelenggaraan, manakala produk-produk terminalnya mencapai pengurangan emisi mutlak tahun-ke-tahun sebanyak 5.02% sepanjang kitaran hayat produk keseluruhan. ZTE turut mengurangkan emisi karbon Skop 1&2&3 sebanyak 14.317 juta tan pada tahun 2024 berbanding paras pada tahun 2023.
Bagi Rantaian Bekalan Hijau, ZTE mengintegrasikan keperluan strategi inovasi hijau ke dalam sistem IT pengurusan pembekal, termasuk penandatanganan perjanjian, audit di tapak dan juga penilaian prestasi. Setakat ini, syarikat ini menjalankan audit di tapak bagi Tanggungjawab Sosial Korporat untuk lebih 450 pembekal pengeluaran, membimbing 152 pembekal melengkapkan inventori karbon peringkat organisasi dan membantu 51 pembekal menetapkan sasaran dan juga langkah-langkah pengurangan karbon.
Bagi Infrastruktur Digital Hijau, ketika ini, ZTE memegang lebih 800 paten hijau. Setakat ini, syarikat ini menjalankan penilaian jejak karbon untuk 240 produk yang meliputi kesemua kategori produknya. Melalui penyelesaian hijau hujung-ke-hujungnya, ZTE terus membantu pengendali global menjimatkan lebih 10 bilion kWj elektrik setiap tahun.
Bagi Pemerkasaan Hijau, ZTE mengintegrasikan infrastruktur awan dan rangkaian, IoT, data raya, AI dan juga teknologi canggih yang lain dengan industri-industri tradisional bagi mencapai hasil yang saling menguntungkan bagi pembangunan serta pengurangan emisi. Syarikat ini turut bekerjasama dengan lebih 2,000 penggiat industri yang utama untuk melaksanakan amalan hijau inovatif dikuasakan 5G dalam 18 sektor — termasuk keluli, metalurgi, pembuatan elektronik, pelabuhan, alihan rel, perlombongan dan kuasa — dan mempelopori lebih 100 senario aplikasi yang inovatif.
Komitmen jangka panjang oleh ZTE terhadap pembangunan lestari telahpun diiktiraf secara konsisten. Syarikat ini menerima kelulusan rasmi daripada Science-Based Targets initiative (SBTi) bagi sasaran 1.5°C jangka pendek dan sasaran sifar bersih jangka panjangnya, selain turut dianugerahkan Pingat Emas oleh EcoVadis yang menyenaraikannya antara 4% syarikat terkemuka yang dinilai di seluruh dunia.
Sebagai ahli UN Global Compact, Global eSustainability Initiative dan COP29 Green Digital Initiative, ZTE akan terus memperdalam peranannya sebagai “Pemacu Ekonomi Digital”, berkolaborasi dengan rakan kongsi dan pelanggan global untuk mencapai kemajuan menuju masa depan hijau dan pintar, seterusnya menyumbang usaha yang mantap bagi menangani perubahan iklim global dan juga membina dunia yang lestari dan lebih baik.
