Cyberjaya, 13 Januari – Malaysian Press Institute (MPI) hari ini mengumumkan bahawa tarikh tutup penyertaan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI PETRONAS 2025 telah dilanjutkan sehingga 30 Januari 2026.
Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong berkata pelanjutan tempoh tersebut dibuat bagi memberi peluang tambahan kepada pengamal media daripada pelbagai platform termasuk media cetak, penyiaran televisyen, radio, portal berita serta kandungan digital untuk meneliti semula pemilihan karya dan menghantar penyertaan terbaik mereka.

“Langkah ini juga bertujuan memastikan penyertaan yang lebih menyeluruh dan berkualiti, selaras dengan usaha MPI mengiktiraf kecemerlangan serta sumbangan pengamal media dalam memperkukuh landskap kewartawanan negara,” katanya.
Sehubungan itu, semua organisasi media, wartawan dan pengamal media disaran agar memanfaatkan tempoh lanjutan ini bagi mengenal pasti serta menghantar karya-karya terbaik mereka untuk dipertandingkan.
Maklumat lanjut berkaitan syarat penyertaan, panduan serta borang penyertaan boleh didapati menerusi pautan berikut: https://www.mpi.my/award/hkm-2025.
Hadiah Kewartawanan Malaysia merupakan anugerah tertinggi di peringkat nasional yang mengiktiraf karya-karya kewartawanan terbaik negara sejak diperkenalkan pada tahun 1980. Anugerah berprestij ini menjadi penanda aras kecemerlangan serta platform utama dalam memperkukuh profesionalisme dan etika kewartawanan.
Dengan sokongan berterusan PETRONAS sebagai penaja utama, jumlah tajaan keseluruhan bernilai RM450,000 disediakan bagi menghargai sumbangan pengamal media daripada pelbagai platform.
