Putrajaya, 30 Disember 2025* – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengumumkan pencapaian cemerlang bagi ujian rintis sistem MyNIISe QR Code, yang membuktikan komitmen kerajaan dalam memodenkan pengurusan sempadan negara secara lebih cekap, selamat dan mesra pengguna.

Sepanjang tempoh pelaksanaan ujian rintis yang bermula pada September 2025, MyNIISe telah mencatatkan statistik mengagumkan:
- 594,087 muat turun aplikasi
- 284,161 pengguna berdaftar
- 1,863,334 pergerakan keluar dan masuk direkodkan
Pencapaian ini mencerminkan keyakinan tinggi rakyat terhadap transformasi digital perkhidmatan imigresen, yang berjaya mengurangkan kebergantungan kepada proses manual serta mempercepatkan urusan keluar masuk negara, terutamanya di pintu masuk utama seperti sempadan Johor dan lapangan terbang antarabangsa.
Seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI, KDN terus memastikan inovasi digital ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.
Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, berkata: “Pendigitalan perkhidmatan kerajaan adalah satu keperluan, bukan pilihan. Ia penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan berfokuskan rakyat.”
MyNIISe akan terus diperkasakan sebagai teras utama pemodenan pengurusan sempadan negara, selari dengan keutamaan kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus dan membina kepercayaan rakyat terhadap sistem imigresen digital.
Ujian rintis ini dijangka berakhir pada Februari 2026, dengan pelan untuk meluaskan lagi penggunaan sistem ini ke lebih banyak pintu masuk negara. KDN menggalakkan rakyat terus memuat turun dan menggunakan aplikasi MyNIISe untuk pengalaman perjalanan yang lebih lancar.
