George Town, 15 Disember 2025– Timbalan Ketua Polis Negara (DIG), Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir dalam Mesyuarat Tiga Penjuru antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kimia Malaysia (Kimia Malaysia) dan Jabatan Peguam Negara Malaysia yang diadakan di G Hotel Gurney, di sini, pada pagi 15 Disember.
Ketibaan beliau disambut oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, CP Dato’ Hussein Omar Khan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Mesyuarat.
Mesyuarat tersebut membincangkan isu-isu berkaitan kes jenayah, standard analisis, kerjasama penyediaan bukti saintifik untuk perbicaraan mahkamah, serta penambahbaikan proses undang-undang bagi memastikan keadilan dilaksanakan dengan lebih berkesan, selaras dengan amalan berkala di peringkat negeri dan pusat.
Dalam ucapannya, Tan Sri Ayob Khan menyifatkan mesyuarat ini sebagai platform strategik yang signifikan, yang diilhamkan sejak 2019 dan terus memainkan peranan penting dalam memperkasa sistem keadilan jenayah negara.
“Saya optimis bahawa dengan gabungan kepakaran, pengalaman luas serta komitmen padu daripada semua rakan strategik, mesyuarat ini akan menghasilkan keputusan dan pendekatan yang lebih tuntas, konstruktif serta berimpak tinggi,” katanya.
Mesyuarat turut menjadi platform pertukaran pandangan dan kepakaran, khususnya dalam memperkukuh kaedah penyiasatan forensik, penyelarasan pengendalian kes serta penambahbaikan prosedur kerja untuk keberkesanan pembuktian di mahkamah.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato’ Rusdi Mohd Isa; Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan 1 Jabatan Peguam Negara, Dato’ Razali Che Ani; Ketua Timbalan Pengarah (Dasar) Kimia Malaysia, ChM. Tuan Hj. Khairul Anuar Abdul Aziz; serta ketua-ketua jabatan dari ketiga-tiga agensi terlibat.

