Antara batas profesional dan batas agama
Oleh Atifah Ahmad Yusof
Fenomena skandal di tempat kerja bukan lagi isu terpencil dalam masyarakat moden hari ini. Ia semakin kerap dilaporkan di dada akhbar, menjadi punca keruntuhan rumah tangga yang dibangun setelah sekian lama. Jika suatu ketika dahulu hubungan sulit lebih dikaitkan dengan lingkungan sosial luar, hari ini tempat kerjalah yang menjadi tempat tercetusnya hubungan terlarang. Mengapa ia semakin membarah? Apakah adab serta akhlak Islam yang sebenarnya telah dilanggar?
Pertama, tidak dapat dinafikan bahawa persekitaran kerja hari ini menuntut interaksi yang dekat dan perbincangan rapat antara lelaki dan perempuan. Namun begitu, interaksi yang dekat ini tidak membenarkan hubungan yang rapat dan jarak fizikal yang dekat sehingga melanggar batas agama.

Dalam suasana hari ini, sempadan profesional menjadi kabur jika tidak dikawal dengan nilai agama. Hal ini terjadi contohnya apabila lelaki dan perempuan berbincang berdua di ruang yang boleh menimbulkan syak wasangka. Dalam berbual itu pula, boleh jadi ia di luar topik yang tidak sesuai dibincangkan oleh lelaki dan perempuan ajnabi seperti hal peribadi, hal rumah tangga atau hal pasangan.
Ia boleh juga dicetus oleh pujian dan gurauan berlebihan, sering makan berdua, perjalanan kerja berdua, komunikasi larut malam dan lain-lain lagi yang menjemput makhluk ketiga yang tidak diundang iaitu syaitan.
Rasulullah SAW telah memberi peringatan tegas dalam sabdanya yang bermaksud: Tidaklah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi yang ketiga di antara mereka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Hadis ini menunjukkan bahawa berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, walaupun atas urusan profesional, tetap mengundang bahaya, kerana syaitan akan mencari jalan untuk menimbulkan niat buruk atau perasaan yang tidak sepatutnya.
Kajian psikologi menunjukkan majoriti hubungan sulit bermula sebagai emotional affair, bukan hubungan fizikal. Ia sering bermula apabila seseorang merasa lebih difahami oleh rakan sekerja berbanding pasangan di rumah, atau apabila seseorang sering berkongsi masalah rumah tangga dengan rakan berlainan jantina. Interaksi sebegini memberi peluang kepada kebergantungan emosi, yang akhirnya membuka pintu kepada hubungan sulit.
Tambahan pula, normalisasi budaya hubungan bebas melalui media sosial dan drama hiburan menjadikan skandal seolah-olah perkara biasa. Istilah seperti “office husband”, “office wife” dan “office soul mate” mula diterima sebagai gurauan ringan sedangkan ia sebenarnya permulaan bibit bahaya. Selain itu, teknologi turut memudahkan hubungan rahsia di mana aplikasi pesanan peribadi memberi ruang untuk komunikasi tanpa batas.
Wahai lelaki, jagalah pandangan, maruah dan jauhilah zina
Perintah menjaga pergaulan, ikhtilat dan maruah diawali dengan perintah menjaga pandangan oleh lelaki. Hal ini kerana lelaki adalah qawwam kepada wanita. Allah berfirman: “Katakanlah kepada laki-laki yang beriman hendaklah mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya. Demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Mahateliti terhadap apa yang mereka perbuat.” (Surat An-Nur, 24 Ayat 30)
Perintah ini diikuti dengan perintah seterusnya kepada perempuan agar kedua-dua lelaki dan perempuan saling menjaga pandangan dan menjaga maruah. Sekiranya sebelah pihak sahaja yang menjaga adab Islam, pasti bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.
Firman Allah selanjutnya: “Katakanlah kepada para perempuan yang beriman hendaklah mereka menjaga pandangannya, memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (bahagian tubuhnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya. Hendaklah pula mereka tidak menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali kepada mahram mereka.” (Surat An-Nur, 24 Ayat 31)
Pandangan mata kepada yang haram pasti akan membawa kepada kemaksiatan lainnya. Nabi SAW bersabda: “Pandangan mata itu salah satu panah daripada anak-anak panah syaitan. Barang siapa yang meninggalkannya kerana takutkan Allah, nescaya Allah SWT akan mendatangkan buatnya sebuah keimanan yang dia merasakan kemanisannya di hati.” (Hadis Riwayat Al-Hakim)
Pandangan, sekiranya tidak dipelihara, akan membawa kepada pandangan yang haram dan jatuhnya ke dalam hati. Hati akan terkenang-kenang dan merindui perkara dosa. Sekalipun lelaki dan perempuan itu belumlah berzina, namun, hati dan mata mereka telahpun berzina!
Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Wahai wanita, tutuplah auratmu, jauhi tabarruj dan wangian berlebihan
Selain faktor-faktor di atas, terdapat satu aspek yang sering diabaikan iaitu pelanggaran adab Islam oleh sebahagian wanita. Mengatasnamakan profesional dan keyakinan diri, wanita berusaha berpenampilan cantik sehingga melanggar batas agama. Mereka menghias diri secara berlebihan atau tabarruj, bertujuan untuk menarik perhatian lelaki Ajnabi. Larangan ini telah diperjelaskan oleh Allah dalam al-Quran: “Dan janganlah kamu bertabarruj seperti tabarrujnya wanita-wanita jahiliyyah dahulu.” (Surah al-Ahzab: 33)
Tabarruj merangkumi penampilan yang menonjolkan bentuk tubuh, pakaian ketat atau jarang, solekan tebal, aksesori berlebihan, suara dan pergerakan yang sengaja menarik perhatian lelaki. Selain itu, penggunaan wangian yang kuat oleh wanita sehingga menimbulkan syahwat lelaki ajnabi juga jelas dilarang dalam Islam. Nabi SAW bersabda: “Wanita yang memakai wangian kemudian melalui kaum lelaki supaya mereka mencium baunya adalah seperti penzina.” (Riwayat Tirmizi)
Larangan ini bukanlah bertujuan menyekat wanita, sebaliknya melindungi maruah mereka dan mengelakkan fitnah di mana sahaja mereka berada terutama di tempat kerja.
Kesimpulan
Islam tidak menolak kerjasama antara lelaki dan wanita di tempat kerja. Namun, Islam menetapkan garis panduan yang jelas: menjaga pandangan, menjaga aurat, mengelakkan khalwat, bercakap dengan nada yang sopan, tidak melembutkan suara, menjaga jarak professional, dan mengelakkan apa sahaja yang membangkitkan syahwat atau menarik perhatian berlebihan.
Semua garis panduan ini bukan bertujuan menyekat, tetapi untuk menjaga maruah, kehormatan, dan kestabilan institusi keluarga yang menjadi asas kekuatan masyarakat. Harus difahami bahawa, menjaga batas professional belum tentu batas agama terjaga. Bagi menjaga keberkatan dalam mencari rezeki, kita harus menjaga keduanya, batas professional dan batas agama.

Dr Atifah Ahmad Yusof ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya