Armizan Syukur GRS Berjaya Bentuk Kerajaan Sabah Walaupun Tiada Majoriti Mudah

6

PUTRAJAYA, 2 Disember 2025 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, meluahkan rasa syukur selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya mengekalkan kuasa di Sabah walaupun tidak memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang baru berlangsung.

Dalam satu hantaran di Facebook baru-baru ini, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, beliau akhirnya dapat berehat dan berjoging selepas “berpeluh” sepanjang kempen PRN Sabah yang amat mencabar.

“Syukur dapat jogging buang peluh malam ni setelah sekian lama berpeluh di gelanggang PRU DUN Sabah,” tulisnya ringkas sambil memaklumkan beliau akan menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan di Parlimen esok – hari terakhir bagi ahli-ahli Parlimen yang belum melakukannya.

Lanskap politik baharu perlu diterima

Armizan menegaskan bahawa kegagalan GRS mendapat majoriti mudah bukanlah satu kegagalan, sebaliknya mencerminkan lanskap politik baharu di Malaysia yang perlu diterima dengan lapang dada.

“Ini kali pertama logo GRS digunakan dalam pilihan raya negeri. Apa yang kita harapkan tidak semestinya kita dapat sepenuhnya, namun rasa syukur mesti ada kerana rakyat masih menaruh kepercayaan kepada GRS,” katanya.

Beliau menambah, kerjasama pasca pilihan raya untuk membentuk kerajaan adalah realiti demokrasi di seluruh dunia, terutama di Sabah yang mempunyai kepelbagaian parti dan bilangan calon yang tinggi bagi setiap kerusi DUN.

“Kerjasama ini tidak bermakna dibentuk bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Apabila tiba PRN seterusnya, gelanggang akan dibuka semula – setiap parti akan bersaing semula,” jelasnya.

Harapan kepada menteri-menteri baharu Sabah

Armizan turut menyatakan keyakinan terhadap tiga menteri Sabah yang baru dilantik dalam Kabinet Persekutuan – Datuk Ewon Benedick, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Datuk Jamawi Jaafar – agar dapat membawa nafas baharu dengan pendekatan yang lebih segar.

“Sesama kita ingatkan diri bahawa setiap parti yang diwakili akan terus berhadapan dengan rakyat, bukan (hanya) 5 tahun, tapi dalam tempoh setahun dua ini sudah mula dinilai,” tegasnya.

Komunikasi strategik kunci kejayaan kerajaan

Dalam nada yang agak tegas, Armizan menekankan pentingnya komunikasi strategik oleh ahli-ahli politik dalam kerajaan negeri.

“Tidak ada mana-mana kerajaan sebelum ini yang boleh memenuhi setiap aspirasi rakyat. Tapi yang penting ialah kita berupaya membawa kemajuan yang lebih bernilai dan bermakna,” katanya.

Beliau mengingatkan agar pencapaian kerajaan terus dimaklumkan kepada rakyat secara proaktif, dan bukan menunggu saat akhir sehingga naratif dikuasai pihak lawan.

“Tidak boleh hanya mengharap penjawat awam melaksanakan kerja komunikasi. Komunikasi bukan core business mereka. Peranan ahli politik dalam pentadbiran adalah untuk provide leadership,” tegas Armizan.

Hantaran beliau ditutup dengan slogan “Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper, Sabah United.”

E Arkian

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp