MEROTAI, TAWAU November 26, 2025 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi mengadakan lawatan kerja ke kawasan DUN Merotai dengan hadir merasmikan “Fiesta Demi Merotai – Harapan Urang Sabah” di Dewan Terbuka Merotai yang dipenuhi ribuan penyokong Pakatan Harapan dan penduduk tempatan.
Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa masa depan Malaysia, khususnya Sabah, tidak boleh dibina atas politik kebencian dan perpecahan, sebaliknya mesti berpaksikan tiga teras utama:
– Perpaduan antara kaum dan etnik
– Integriti yang tinggi
– Tadbir urus yang baik dan telus
“Keamanan serta keharmonian yang kita nikmati di Sabah ini adalah aset terbesar. Jika kita jaga perpaduan ini dan urus negeri dengan adil, Sabah mampu melonjak lebih jauh lagi,” tegas Perdana Menteri yang disambut sorakan gemuruh.
Calon Pakatan Harapan bagi kerusi DUN Merotai, Datuk Ruji Ubi, meluahkan rasa syukur dan terharu atas kesudian Anwar meluangkan masa hadir ke kawasan pedalaman ini.
“Kehadiran YAB Perdana Menteri amat bermakna buat rakyat Merotai. Pesanan beliau menjadi penguat semangat untuk kami terus berjuang demi pembangunan yang adil dan merangkumi semua lapisan masyarakat,” ujar Datuk Ruji dalam kenyataan media sosialnya sejurus tamat program.
Beliau yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Anwar atas kepercayaan memilihnya sebagai calon PH, serta kepada pasukan penganjur, dan semua penduduk yang hadir sehingga dewan penuh sesak.
Kehadiran Perdana Menteri sendiri ke Merotai, dilihat sebagai isyarat kuat sokongan kepimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan kepada Datuk Ruji Ubi serta misi Pakatan Harapan untuk menawan semula kerusi-kerusi di pantai timur Sabah pada PRN Sabtu ini.

