KUALA LUMPUR, MALAYSIA – Media OutReach Newswire – 20 November 2025 – YTL Cement Group (YTL Cement) telah menjadi pengeluar simen dan konkrit pratuang pertama di Malaysia yang memperoleh sijil Deklarasi Produk Alam Sekitar (EPD) bagi produk di bawah rangkaian ECOCem®, ECOConcrete™ dan produk pratuangnya, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan kelestariannya.

Pencapaian ini memperkukuh komitmen kumpulan tersebut dalam menyediakan penyelesaian pembinaan yang lestari dan berprestasi tinggi, serta memacu peralihan Malaysia ke arah pembinaan rendah karbon.
EPD ialah sebuah dokumen disahkan oleh pihak ketiga, yang melaporkan impak alam sekitar sesuatu produk sepanjang kitaran hayatnya, berdasarkan piawaian antarabangsa seperti ISO14025 dan siri ISO14040. Ia digunakan secara meluas dalam pensijilan bangunan hijau dan membantu arkitek, kontraktor serta pemaju membuat pilihan bahan secara berasaskan maklumat bagi memenuhi matlamat kelestarian.
Antara produk baharu yang menerima pensijilan EPD termasuk Castle Cement – simen dengan pensijilan Label Hijau Singapura dan diformulasi untuk kerja-kerja pemasangan bata, meratakan lantai dan konkrit; serta ECOConcrete™ Gred 40 dan Gred 35, yang direka bagi mengurangkan karbon terbenam sambil mengekalkan kekuatan dan ketahanan. Unit pratuang YTL Cement Group, iaitu Eastern Pretech, turut memperoleh EPD bagi rangkaian produk konkrit pratuangnya termasuk papak berongga, rasuk, pelantar dan papak ‘double tee’, menjadikannya EPD pertama untuk produk konkrit pratuang di Malaysia.
Pencapaian ini memperkukuh usaha berterusan YTL Cement untuk menyahkarbon rantaian nilai pembinaan. YTL Cement merupakan kumpulan pertama di Malaysia yang memperkenalkan rangkaian ECO: ECOCem®, ECOConcrete™, ECOSand™ dan ECODrymix™. Ia telah bekerjasama dengan CREAM, iaitu badan penyelidikan CIDB Malaysia, untuk memacu pembinaan lestari. Kumpulan tersebut menyokong penyelidikan dan inovasi dalam bahan binaan rendah karbon menerusi Makmal Pembangunan Pembinaan-nya (CDL); manakala bahagian latihan dan pembangunannya, Akademi CDL menggalakkan kesedaran industri dan peningkatan kemahiran. Kesemua inisiatif ini telah memberi manfaat kepada lebih 10,000 profesional dan pelajar menerusi latihan berkaitan kelestarian dan inovasi.
“Pencapaian pensijilan EPD bagi rangkaian produk ECO kami merupakan detik penting dalam perjalanan kelestarian kami,” kata Pengarah Eksekutif YTL Cement, Rachel Yeoh. “Ia mencerminkan pelaburan berterusan kami dalam bahan binaan rendah karbon, bagi membantu pelanggan melakukan pembinaan dengan cara lebih lestari.”
Produk YTL Cement yang diiktiraf EPD memberi jaminan tambahan dari segi ketelusan dan prestasi kepada para pelanggan, sekali gus menegaskan komitmen jangka panjang syarikat terhadap tanggungjawab alam sekitar. Malah, kumpulan tersebut akan terus bekerjasama dengan badan kawal selia, badan industri dan rakan penyelidikan untuk memantapkan amalan pembinaan lestari serta menyokong aspirasi neutral karbon Malaysia.