Pelajar tahun akhir Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya (UM), Asiyah binti Mohamed Ashraf, telah mewakili Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya di Simposium Akademik Bersama UM-NUS 2025 baru-baru ini di Kelab Golf Diraja Perak, Ipoh, bersempena Kejohanan Golf Tunku Canselor UM-NUS kali ke-54.

Simposium ini menandakan lebih enam dekad kerjasama akademik antara Universiti Malaya (UM) dan Universiti Nasional Singapura (NUS). Ia telah diserikan dengan kehadiran DYMM Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, bersama Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam, yang juga merupakan Canselor NUS. Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon dan Naib Canselor UM Prof Dato’ Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.
Asiyah membentangkan projek penyelidikan tahun akhirnya yang bertajuk ‘Nanocomposite-Based Electrochemical Biosensor for NS1 Dengue Virus Detection’, yang diselia oleh Profesor Ir. Dr. Fatimah Ibrahim, Pengarah Pusat Inovasi dalam Kejuruteraan Perubatan (CIME), Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, UM.

Pembentangannya memperkenalkan BIOSENSE-NS1, sebuah peranti inovatif yang direka untuk pengesanan jangkitan denggi yang pantas. Projek tersebut turut dipilih sebagai salah satu daripada lima projek penyelidikan tahun akhir terbaik di seluruh UM, di dalam persidangan UM UG iFEST 2025 yang melihat penyertaan dari semua pelajar tahun akhir di kampus pada bulan Jun yang lalu.
Projek ini juga menerima dana daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, Kerajaan Malaysia di bawah Geran Translasi (MO001-2024) bertajuk “A New Approach of Decision Support System for Monitoring Risk in Dengue Patients Using Bioimpedance Vector Analysis (BIVA) Technique,” yang mencerminkan kecemerlangan penyelidikan dan potensi aplikasinya dalam penjagaan kesihatan dunia nyata.


Keupayaan dan kecekapan BIOSENSE-NS1
BIOSENSE-NS1 hanya memerlukan setitis darah yang diletakkan pada elektrod. Dengan menekan satu butang, ia mengesan protein NS1, iaitu penanda biologi yang wujud semasa peringkat awal jangkitan denggi.
Keputusan ujian tersedia dalam masa 30 minit. Ini menjadikannya 144 kali lebih pantas berbanding kaedah konvensional seperti PCR.
Peranti ini juga sangat berpatutan, dengan jangkaan harga kosnya hanya RM5 setiap ujian. Ini adalah 18 kali lebih murah daripada kos ujian PCR dan tujuh kali lebih murah daripada kit ujian pantas sedia ada. Kerana sifatnya yang mudah alih, tepat, dan kos rendah, peranti ini menjanjikan potensi besar untuk klinik luar bandar dan persekitaran penjagaan kesihatan yang yang menghadapi kekangan sumber dana.
“BIOSENSE-NS1 direka dengan mengambil kira kebolehcapaian untuk menjadikan pengesanan awal denggi lebih pantas, lebih murah dan lebih tersedia kepada semua komuniti,” kata Asiyah. “Ini adalah satu langkah ke arah teknologi penjagaan kesihatan menyelamatkan nyawa yang lebih adil dan saksama”.
Merujuk kepada pengalamannya di pentas antarabangsa ini, Asiyah melahirkan rasa syukur atas peluang tersebut. “Penyertaan dalam simposium ini benar-benar memberi inspirasi. Ia memberi saya peluang untuk mempamerkan sumbangan UM kepada inovasi kesihatan global dan mengukuhkan keazaman saya untuk meneruskan penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat,” kongsinya.
Profesor Ir. Dr. Fatimah Ibrahim, yang menyelia projek itu, turut memuji usaha dan dedikasi pelajarnya. Beliau menyatakan, “Usaha Asiyah menunjukkan bagaimana kejuruteraan dan inovasi boleh digabungkan untuk mencipta penyelesaian yang berpatutan bagi isu penjagaan kesihatan yang mendesak seperti denggi. Adalah menggalakkan untuk melihat penyelidik muda menyumbang kepada landskap teknologi perubatan (medtech) Malaysia yang semakin berkembang,” katanya.
Simposium ini menekankan kepentingan kolaborasi merentas sempadan dalam penyelidikan perubatan dan pembangunan teknologi, sejajar dengan visi yang lebih luas UM dan NUS untuk memajukan penjagaan kesihatan khusus untuk penduduk rantau ini.
Penyertaan Asiyah bukan sahaja mempamerkan semangat inovatif UM tetapi juga mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memupuk bakat muda yang merapatkan jurang antara penyelidikan dan impak dunia nyata. Projek beliau, BIOSENSE-NS1, membuktikan bagaimana inovasi yang didorong oleh rasa empati dan kecemerlangan saintifik boleh membawa kepada perubahan transformatif dalam arena kesihatan global.