Wanita sebenarnya rakan dalam naratif pembangunan

1

Oleh Noraisah Yusop

Sejak negara ini berdiri, wanita sudah lama menjadi penyokong dalam projek kebangsaan. Mereka bekerja di ladang, masuk ke kilang, mengurus keluarga, menyambung hidup dan ekonomi tetapi jarang tercatat dalam pelan pembangunan rasmi. Pengiktirafan datang kemudian. Hanya pada Rancangan Malaysia Keenam, awal 1990-an, wanita mula disebut bukan sekadar pelengkap, tetapi subjek dasar. 

Dari situ, kementerian ditubuhkan, jabatan ditukar nama, pelan tindakan dan indikator gender diperkenalkan. Malaysia lalu menandatangani CEDAW pada 1995, memberi legitimasi antarabangsa. Wanita akhirnya masuk ke statistik kemajuan nasional.

Gambar oleh Vitaly Gariev – Unsplash

Namun angka-angka seperti selalu, mendedahkan sisi yang lebih rumit. Kadar penyertaan tenaga buruh wanita Malaysia pada 2010 hanyalah sekitar 46%. Ia meningkat ke 55% menjelang 2020, tetapi masih jauh ketinggalan berbanding Vietnam (lebih 70%), Thailand (hampir 67%), dan Singapura (sekitar 63%). Ironinya, Malaysia memiliki lebih ramai wanita berpendidikan tinggi berbanding lelaki tetapi angka itu tidak diterjemahkan ke pasaran kerja. Ramai yang keluar dari tenaga buruh selepas berkahwin, membesarkan anak tanpa sokongan penjagaan yang memadai, atau terperangkap dalam pekerjaan yang rentan atau sektor tidak formal. 

Menjelang RMK9 dan RMK10, istilah “mengarus perdana gender” mula tertera dalam dokumen rasmi, lengkap dengan strategi menempatkan wanita dalam kedudukan pembuatan keputusan. RMK11 dan RMK12 menambah baik intervensi mikro seperti waktu kerja anjal, insentif cukai, MamaCare, Career Comeback. Statistik rasmi mungkin menunjukkan peningkatan penyertaan, tetapi jurang gaji kekal, wanita di Malaysia secara purata memperoleh 20% lebih rendah daripada lelaki, walaupun melakukan kerja setara. 

Wanita Malaysia menjadi enjin senyap ekonomi iaitu dari penenun pua kumbu di Sarawak, juruwang pasar raya di Kuala Lumpur, hingga jurutera elektronik di Pulau Pinang yang menyumbang kepada eksport utama negara. Namun negara tidak benar-benar menjaga mereka seperti sepatutnya. Perlindungan sosial tetap rapuh; cuti bersalin lebih dari 90 hari masih diperdebatkan seolah-olah ia ancaman kepada produktiviti, gaji anjal dan peluang kerja fleksibel hanya tersedia untuk kelas menengah bandar, taska berkualiti pula menjadi kemewahan, bukan kemudahan asas. 

Seorang wanita masih meninggalkan kerjaya untuk menjaga anak kerana taska penuh, masih menerima gaji lebih rendah untuk kerja setara, masih bekerja tanpa terikat dengan kontrak atas tuntutan keluarga. Wanita, terutamanya di kawasan luar bandar dan dalam sektor tidak formal, masih berhadapan dengan jurang pendapatan, akses kemahiran, perlindungan sosial dan infrastruktur yang tidak peka gender. Penjagaan kanak-kanak sering diabaikan, walhal ia menjadi kunci agar wanita dapat menyertai tenaga kerja dengan lebih stabil. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan perlunya memperketat pemilihan penjaga kanak-kanak, meminda undang-undang taska, dan memperbanyak pusat jagaan OKU. 

Usaha seperti pindaan Akta Taska 1984 sedang dirangka untuk memperkukuh ekosistem penjagaan awal kanak-kanak namun proses itu lambat dan sering terhambat birokrasi. Wanita akhirnya terpaksa memilih antara kerjaya dan tanggungjawab menjaga keluarga kerana tidak wujud sokongan penjagaan yang terjangkau atau menanggung beban dua ganda – bekerja di luar dan dalam rumah – menjadi individu bekerjaya dan ibu rumah tangga sepenuh masa. 

Dalam rumah sempit di flat kos rendah, kisahnya juga serupa, pasangan muda sering menambah anak tanpa sedar bahawa kos membesarkan seorang anak hari ini bukan lagi sebungkus nasi lemak dan sepasang kasut sekolah. Tanpa perancangan keluarga, beban berpindah ke bahu negara. Kerajaan akhirnya menanggung dari susu percuma di klinik kesihatan, hinggalah bil rawatan di hospital awam. 

Walaupun kerajaan menyediakan pelepasan cukai kepada ibu bapa yang menghantar anak berusia enam tahun ke bawah ke taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi taska didapati bimbang untuk menerima bayi bawah 12 bulan atas sebab kes kematian dan isu keselamatan. Beban tanggungjawab ini akhirnya dialihkan kepada orang tua untuk menjaga cucu agar generasi muda dapat bekerja. Dalam keadaan Malaysia menuju negara menua menjelang 2030, kerapuhan sistem sokongan untuk wanita bekerjaya turut menunjukkan kelemahan penjagaan kebajikan orang tua. 

Inisiatif seperti gaji kehidupan wajar yang dilaksanakan melalui program GEAR-uP oleh Kementerian Kewangan merupakan langkah penting dalam “menaikkan lantai” ekonomi pekerja wanita berpendapatan rendah. Malah, Malaysia juga boleh memanfaatkan pendekatan blended finance seperti disarankan oleh OECD untuk memperkukuh penyertaan ekonomi wanita luar bandar melalui dana impak gender, projek mikro dan pembangunan infrastruktur sosial. 

Penutupan jurang kemahiran mampu disokong dengan pusat latihan TVET/STEM mesra wanita yang dilengkapi kemudahan penjagaan anak. Gabungan antara pelaksanaan dasar fiskal progresif, perlindungan sosial terangkum dan strategi kewangan inovatif akan memastikan pelaksanaan RMK13 adil, lestari dan memberi manfaat kepada semua golongan dengan mengambil kira gender dan geografi.

RMK13 memberi harapan baharu dengan meletakkan wanita dalam kerangka pembangunan makro melalui reformasi pasaran buruh, peningkatan mobiliti sosial, serta pengukuhan institusi kekeluargaan di bawah aspirasi Ekonomi MADANI. Namun, harapan ini hanya akan bermakna jika diterjemahkan dalam tindakan yang menyentuh kehidupan sebenar wanita, dari taska mampu milik di kawasan bandar dan pinggir bandar, perlindungan sosial bagi pekerja sektor tidak formal; dari peluang kerjaya yang setara hinggalah pengiktirafan kerja penjagaan yang selama ini tidak dibayar. 

Tuntasnya, memetik kata-kata Soekarno dalam Sarinah: “Pembangunan tidak akan bermakna tanpa wanita, dan suatu bangsa tidak akan benar-benar merdeka selagi ada bangsa yang terbelenggu.” Wanita bukanlah kelas kedua tetapi rakan dalam kemerdekaan dan pembangunan. 


Noraisah Yusop

Dr Noraisah Yusop ialah Felo Penyelidik Pascadoktoral di International Institute of Public Policy and Management (INPUMA) Universiti Malaya

Pendapat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp