MBM SAMBUT BAIK BELANJAWAN 2026, TUNTUT RUANG BELIA TIDAK DIPERKECIL

3

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik pengumuman Belanjawan MADANI Keempat  2026 yang disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri yang  memperlihatkan komitmen jelas Kerajaan terhadap pembangunan generasi muda dan  agenda pemerkasaan belia negara. 

MBM mengalu-alukan peruntukan RM250 juta bagi pelaksanaan Program Latihan Khidmat  Negara (PLKN) 2026 sebagai usaha membina jati diri, semangat kenegaraan dan budaya  kesukarelawanan dalam kalangan anak muda. 

MBM turut menyambut baik inisiatif Program K-Youth oleh Khazanah Nasional bernilai  RM200 juta yang menyasarkan latihan sambil bekerja kepada 11,000 belia tanpa ijazah  dalam sektor strategik seperti semikonduktor, jentera, MRO, digital dan teknologi. 

MBM juga menghargai peningkatan besar peruntukan dalam bidang Pendidikan dan Latihan  Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menjadi teras utama pembangunan tenaga muda  negara. Peningkatan ini menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan untuk melahirkan  tenaga belia berkemahiran tinggi sejajar dengan keperluan pasaran kerja baharu serta  mendukung agenda transformasi ekonomi nasional. 

Selain itu, MBM menyokong penuh peningkatan peruntukan RM40 juta kepada Program  Rakan Muda, peningkatan sebanyak RM15 juta berbanding RM25 juta pada tahun  sebelumnya. MBM berharap sebahagian besar daripada peruntukan ini dapat disalurkan  terus kepada pertubuhan belia di seluruh negara sebagai wahana membentuk jati diri,  integriti dan daya juang anak muda, khususnya di luar bandar dan komuniti tercicir. 

Namun begitu, MBM berbeza pandangan dalam dua perkara utama, iaitu penetapan had  umur belia baharu dan inisiatif anak muda dalam bidang keusahawanan.

MBM bertegas untuk memilih kedudukan bertentangan dalam isu had umur belia, serta  menggesa Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memastikan segala  inisiatif pembangunan belia sedia ada tidak terjejas serta terus inklusif kepada kelompok  belia muda dewasa (emerging adults). 

Sehubungan itu, MBM merayu agar inisiatif pembiayaan RM150 juta di bawah BSN dan  RM12 juta di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera SME Corp turut diluaskan  kepada kelompok rakyat Malaysia berumur 31 hingga 40 tahun, yang masih aktif dan  produktif dalam kegiatan sosial serta ekonomi negara. 

MBM kekal komited untuk terus berdialog dan bekerjasama dengan Kerajaan dalam  menjayakan usaha memacu ekonomi nasional serta memperkukuh ekosistem  pembangunan belia yang inklusif, progresif dan berdaya saing. 

E Arkian

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp