BUDI95 akan dilancarkan mulai 30 September 2025.

58

Setiap warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu sah akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter petrol RON95 bersubsidi. Harga RON95 juga akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter, manakala bukan warganegara akan dikenakan harga RM2.60 seliter.

PUTRAJAYA, 22 SEPTEMBER 2025 – Mulai 30 September ini, kerajaan akan melancarkan Program Budi Madani RON95 (BUDI95), menggantikan sistem subsidi petrol sedia ada, kata Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapan pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), beliau memaklumkan bahawa setiap warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu sah akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter petrol RON95 bersubsidi. Harga RON95 juga akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter, manakala bukan warganegara akan dikenakan harga RM2.60 seliter.

Program BUDI95, yang merangkumi semua warganegara tanpa mengira tahap pendapatan, bertujuan memastikan agihan subsidi yang lebih adil dan telus, sambil mengelakkan ketirisan. Pengesahan kelayakan akan menggunakan MyKad dan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan hanya warganegara dengan lesen memandu aktif mendapat manfaat.

Perdana Menteri menasihati rakyat menyemak cip MyKad dan lesen memandu mereka lebih awal bagi mengelakkan sebarang masalah teknikal semasa mengisi petrol. Beliau menambah, Kementerian Kewangan akan menyediakan penerangan terperinci secara berkala untuk memastikan pelaksanaan program ini difahami dengan jelas.

“Insya-Allah, subsidi ini akan diagih secara bersasar dan tanpa ketirisan demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia,” tegas Anwar.

Dalam pada itu, anggota pasukan polis dan tentera akan menerima manfaat ini lebih awal iaitu pada 27 September 2025, serta penerima bantuan STR pada 28 September 2025.

E Berita E Berita

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp