TELUPID, 21 September – Kerajaan MADANI akan terus memberi perhatian pembangunan premis Tamu Desa bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan luar bandar, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mula melaksanakan Program Pembangunan Premis Tamu Desa di Sabah dan Sarawak, sejak tahun 2024.
“Antara premis Tamu Desa yang dibina baharu di Sabah ialah di Telupid yang pastinya akan memberi nilai tambah kepada kemudahan keusahawanan di daerah ini.
“Bagi Fasa 1 Tahun 2024, sebanyak 36 projek di Sabah dan 13 projek di Sarawak telah siap dengan kos RM8.69 juta, memberi manfaat kepada 1,958 peniaga tamu.

“Fasa 2 pula melibatkan 25 projek di Sabah dengan kos RM4.84 juta dan 26 projek di Sarawak dengan kos RM5.15 juta, yang telah siap dan memberi manfaat kepada 1,964 peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Tamu Desa Pekan Telupid, di sini, hari ini.
Ewon berkata, kejayaan kedua-dua fasa itu mendorong kerajaan meneruskan Projek Pembangunan Premis Tamu Desa Fasa 3 Tahun 2025 dengan peruntukan RM10 juta, termasuk di Daerah Telupid.
Katanya lagi, Tamu Desa bukan sahaja menjadi nadi pembangunan sosioekonomi luar bandar, malah mencerminkan budaya dan tradisi masyarakat setempat dalam memasarkan hasil jualan mereka.
“Sebelum ini, ada premis tamu yang daif serta kurang kemudahan asas. Dengan inisiatif ini, kita mahu menyediakan premis yang lebih selesa kepada penjaja dan pengunjung,” jelasnya.

Beliau berharap Persatuan Usahawan dan Peniaga Daerah Telupid memainkan peranan aktif menyelia pengoperasian Tamu Desa Pekan Telupid.
Mengenai Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) di bawah agensi TEKUN Nasional, Ewon berkata sejak diperkenalkan pada tahun 2023 sehingga Ogos 2025, sejumlah RM9.7 juta telah disalurkan kepada usahawan Sabah.
“Pembiayaan ini memberi manfaat kepada seramai 2,274 usahawan, khususnya para peniaga kecil dan penjaja yang aktif di pasar-pasar tamu di seluruh Sabah,” katanya.
Ewon berkata, tamu sebagai institusi ekonomi masyarakat Kadazan Dusun dan pribumi Sabah yang lain, bukan sekadar ruang niaga, tetapi medan pertemuan, pertukaran idea dan pengukuhan identiti komuniti.

“Maka, pendekatan TEKUN untuk menjadikan tamu sebagai medan sokongan kepada usahawan mikro tempatan amat bertepatan dengan aspirasi ekonomi komuniti atau community based economy.
“Ini jelas menunjukkan komitmen TEKUN Nasional dalam memperkasa ekonomi rakyat melalui sokongan pembiayaan mikro, khususnya kepada komuniti luar bandar dan usahawan kecil yang memerlukan suntikan modal untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
Sempena majlis ini, turut diadakan Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) untuk memberi peluang kepada penduduk di Daerah Telupid mendapatkan barangan asas dengan tawaran penjimatan harga sehingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.
“Sehingga kini, program JMKU ini berjaya dilaksanakan sebanyak 56 siri JMKU yang memberi manfaat kepada lebih 68,141 isi rumah.
“Pada tahun ini, program JMKU berjaya merekodkan jumlah jualan sebanyak RM2.04 juta melalui 50 koperasi yang dilantik sebagai operator jualan,” katanya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP Azizul Alias, Pegawai Daerah Telupid Celestine Jetony dan Pengerusi Persatuan Usahawan dan Peniaga Daerah Telupid Felix Joseph Saang.