Seni pantun warisan jiwa merdeka

20

Oleh Che Mohd Farhan Che Mat Dusuki

Dalam semangat menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 bertema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, kita diingatkan bahawa kemerdekaan bukan hanya tentang politik atau ekonomi, tetapi juga soal bagaimana rakyat terus disantuni dengan warisan budayanya sendiri. Antara warisan yang lahir daripada budi halus masyarakat Melayu dan pernah menjadi nadi pergaulan bersama kaum lain ialah seni pantun. Ia bukan sekadar rangkaian kata, tetapi cara bangsa ini menzahirkan hormat, menyampaikan sindiran dengan berlapik, menasihati tanpa mengguris, dan menuturkan cinta dengan santun. Namun hari ini, pantun semakin jarang bergema dalam kehidupan seharian, seolah-olah hanya tinggal di pentas rasmi atau tercatat dingin dalam helaian sejarah.

Gambar hiasan oleh Aim Aris – Unsplash.

Namun, usaha segelintir pendidik dan pelajar hari ini memberi harapan bahawa pantun masih mampu bernafas dalam arus kemodenan. Ia bukan lagi milik eksklusif mereka yang menekuni bahasa atau sastera, tetapi boleh disambut sesiapa sahaja yang punya jiwa, tanpa mengira bangsa atau latar pendidikan. Penulis sendiri, meskipun seorang tenaga pengajar dalam bidang Kimia di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM), sering diberi amanah sebagai ketua penasihat pasukan pantun pelajar untuk menyertai Festival Pantun Antara Asasi (FANTASI) sejak tiga tahun lalu. Tugas penulis bukan melatih mereka berpantun, sebaliknya menguruskan perjalanan penyertaan. Namun pengalaman itu mengajar penulis untuk berani tampil menjual pantun kepada para peserta, mengisi sela masa pertandingan ketika menanti keputusan diumumkan.

Begitu juga dengan para pelajar. Selaku sebuah pusat asasi sains, PASUM tidak mempunyai pelajar dalam aliran bahasa atau sastera untuk dihantar bertanding. Kesemuanya datang daripada jurusan sains seperti Sains Hayat, Sains Fizikal, Sains Sosial dan Asasi Pengajian Islam dan Sains (APIdS). Namun dengan bimbingan jurulatih berkelayakan, mereka membuktikan bahawa tiada bidang yang terlalu teknikal untuk menyantuni seni. Pada mulanya ramai yang berasa kekok, ada yang hanya mengenal pantun di sekolah rendah malah ada juga yang tidak pernah berpantun secara formal. Daripada rasa janggal itu lahirlah proses pembelajaran yang jujur. Dengan latihan dan tunjuk ajar, bakat mereka mula menyerlah. Mereka bukan sekadar belajar membalas pantun tetapi juga mengasah keupayaan menyusun makna, mengatur irama, menyampaikan mesej dan menyulam emosi.

Daripada rasa ragu, mereka akhirnya tampil sebagai pemantun yang petah dan bersahaja sehingga PASUM berjaya melakar kejayaan demi kejayaan saban tahun walaupun dengan kumpulan pelajar yang sentiasa berganti. Pasukan pertama yang dihantar pada sesi 2022/2023 muncul juara, diikuti pasukan sesi 2023/2024 sebagai naib juara. Tahun ini pula, buat pertama kali PASUM menghantar dua pasukan dan kedua-duanya melangkah ke pentas akhir sekali gus dinobatkan sebagai juara dan naib juara. Namun pencapaian sebenar bukan sekadar pada gelaran yang diraih, tetapi pada hakikat bahawa pelajar yang lazimnya tenggelam dengan nota kimia, fizik dan biologi kini mampu menyusun kata berlapis makna dan bermain bicara beralas budi. Ini membuktikan bahawa bakat dan minat tidak terikat pada bidang pengajian, bahkan boleh berkembang segar walaupun tanpa latar sastera.

Satu lagi realiti yang lebih menyentuh ialah apabila pelajar bukan Melayu turut tampil sebagai pemantun. Pantun sering disalah tanggap sebagai budaya silam milik orang Melayu dan hanya sesuai dilantunkan dalam acara rasmi. Hakikatnya, pertandingan pantun hari ini membuktikan sebaliknya apabila ia turut menarik minat anak muda daripada pelbagai bangsa untuk mendekatinya. Inilah gambaran jiwa merdeka yang tidak terikat oleh sempadan akademik mahupun kaum, tetapi terbit daripada keinginan bersama untuk menyambut warisan. Pantun tidak pernah menyoal keturunan, yang dituntut hanyalah kesediaan hati untuk menghidupkannya. Inilah penyatuan yang tidak lahir daripada slogan, tetapi benar-benar hidup dalam pengalaman.

Meskipun dunia Sains yang menjadi latar pendidikan para pelajar ini kelihatan jauh daripada pantun, hakikatnya pantun turut menyumbang kepada pembinaan sikap dan kemahiran yang amat berguna. Ia melatih kekuatan berfikir dan keyakinan untuk menyampaikan pendapat dengan santun. Semua ini bukan kerana pelajar berlatar sastera, tetapi kerana mereka berani membuka diri untuk menerima sesuatu yang baharu. Pantun juga mendidik agar bahasa tersusun, kata dilafazkan dengan berlapik dan berhikmah. Inilah kemahiran komunikasi dan daya intelektual yang relevan dalam semua bidang, sama ada dalam sains, undang-undang mahupun pentadbiran.

Budaya ini mengajak kita bercakap dengan jiwa, bukan sekadar dengan suara. Pantun tidak wajar dianggap tinggalan generasi lama, sebaliknya bekal untuk generasi kini dan akan datang. Ia bukan sekadar simbol nostalgia, tetapi alat membina jati diri.

Untuk menyambut warisan ini, kita tidak perlu ijazah sastera, hanya hati yang sudi belajar, keberanian untuk mencuba dan keikhlasan menerima tanpa prejudis. Ketika kita meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, semangat merdeka janganlah hanya terpamer pada kibaran bendera atau gema laungan tema. Biarlah ia hidup dalam jiwa, diperkukuh melalui usaha menyuburkan semula budaya yang membina bangsa.

Malaysia MADANI, rakyat disantuni,

Tema dipilih HKHM tahun ini,

Warisan budaya jangan dibiarkan mati,

Dengan jiwa merdeka, pantun bersinar kembali.


Che Mohd Farhan Che Mat Dusuki

Che Mohd Farhan bin Che Mat Dusuki ialah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Bahagian Kimia, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM)

Pendapat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp