Antara strategi, kolaborasi dan dedikasi

35

UM pastikan kursus kejuruteraan bioperubatan kekal relevan di mata pelajar dan pemegang taruh

Pada 5 hingga 7 September 2025, Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya telah menganjurkan Bengkel Jaminan Kualiti di Amverton Cove Golf and Island Resort, Klang. Program tiga hari dua malam ini berjaya menghimpunkan hampir 30 orang kakitangan akademik dan sokongan, termasuklah pensyarah, juruteknik makmal serta pegawai penyelidik. Dengan kehadiran ahli keluarga masing-masing, jumlah keseluruhan peserta mencecah hampir 100 orang.

Matlamat utama bengkel ini adalah untuk menilai semula struktur kurikulum kursus sarjana muda dan sarjana, memastikan keselarasan dengan keperluan semasa industri dan pelajar, serta memperkukuh proses penambahbaikan berterusan (CQI).

Staf sokongan jabatan turut fokus menyiapkan tugasan bengkel.

Sesi akademik yang padat

Hari pertama dimulakan dengan sesi Taklimat dan proses CQI untuk program Sarjana Kejuruteraan (MEng). Antara yang dibincangkan termasuklah cadangan untuk menjadikan program MEng lebih fleksibel, relevan dan menarik kepada pelajar baharu. Turut disentuh ialah penawaran kursus elektif terbuka, mekanisme putaran kursus serta kekangan sumber yang dihadapi jabatan.

Pada hari kedua, tumpuan diberikan kepada struktur penawaran kursus-kursus untuk program sarjana muda. Perbincangan turut menyentuh keseimbangan antara elemen teori dan amali, termasuklah kemahiran teknikal serta insaniah para pelajar. Aktiviti berkumpulan telah dijalankan bagi mencadangkan penambahbaikan untuk setiap tahun pengajian, bermula dari Tahun 1 hingga Tahun 4.

Salah sebuah kumpulan dengan hasil kerja mereka

Sesi ketiga pula menekankan kepada pelan tindakan yang dibentangkan oleh kumpulan mengikut bidang-bidang pengkhususan: elektrik, mekanikal, bioperubatan, prostetik dan ortotik, serta kursus kemuncak (culminating courses). Pembentangan ini diikuti dengan penyelarasan cadangan, garis masa, serta pembahagian tanggungjawab. Hari terakhir bengkel diakhiri dengan pembentangan dan perancangan dalam penyiapan dokumen laporan kendiri (SAR) bagi kegunaan permohonan akreditasi Majlis Akreditasi Kejurutureaan (EAC) di bawah Lembaga Kejuruteraan Malaysia (BEM). Penyediaan dokumen SAR menurut garis masa yang ditetapkan adalah penting dalam memastikan kesediaan jabatan menghadapi proses akreditasi untuk pelajar yang bakal bergraduasi pada tahun 2027 kelak.

Menurut Prof. Madya Ir Dr Mas Sahidayana Mohktar yang mengetuai perbincangan SAR, “Kita berada di landasan yang betul dalam mewujudkan budaya kerja yang sentiasa bersedia untuk menilai apa yang kita laksanakan. Proses akreditasi tidak sepatutnya ditakuti, sebaliknya dilihat sebagai sebuah panduan dalam memastikan pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti.”

Pengajaran dari padang paintball

Peserta bersedia untuk Paintball Battle.

Menariknya, di sebalik jadual akademik yang padat, bengkel kali ini turut disertakan dengan aktiviti “Paintball Battles”. Seramai lebih 20 orang kakitangan turut menyertai permainan lasak ini yang menguji strategi, komunikasi dan kerjasama berpasukan.

Jika sesi bengkel melatih pemikiran kritikal dan perancangan jangka panjang, padang paintball pula memberikan pengalaman praktikal tentang pentingnya koordinasi dan peranan setiap individu dalam mencapai kejayaan kumpulan. Setiap peserta perlu membuat keputusan yang pantas, menyusun strategi serangan dan bertahan, serta saling mempercayai rakan sepasukan. “Nilai-nilai ini sebenarnya tidak jauh bezanya dengan apa yang diperlukan dalam proses pengajaran, penyelidikan dan pengurusan akademik,” kata Prof. Madya Dr Juliana Usman, Ketua Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM. 

Peserta bersedia untuk Paintball Battle.

Mengukuhkan komuniti jabatan

Selain aspek kerja, bengkel turut diserikan dengan majlis BBQ yang dihadiri semua staf bersama keluarga. Suasana santai ini mengeratkan hubungan silaturahim, menjadikan bengkel bukan sahaja ruang kerja intelektual tetapi juga platform membina komuniti yang lebih kukuh.

Dr Juliana turut menyatakan keterujaannya di atas kejayaan penganjuran bengkel kali ini. “Saya gembira melihat perbincangan yang sihat dan aktif daripada semua staf. Malah, ramai yang pulang dengan ‘battle scars’, tanda dedikasi dan komitmen mempertahankan serta mengangkat pasukan untuk menang. Semangat ini perlu kita bawa bersama dalam semua yang kita lakukan untuk jabatan dan program kejuruteraan bioperubatan.”

Dr Juliana memberi taklimat.

Kesimpulannya, bengkel kali ini berjaya mencapai dua matlamat serentak: memperkukuh kurikulum kursus sarjana muda dan sarjana melalui proses CQI yang sistematik, serta mengeratkan hubungan warga jabatan melalui aktiviti luar bilik mesyuarat yang santai. Dengan gabungan kedua-duanya, Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM yakin dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten, tetapi juga berdaya tahan menghadapi cabaran masa depan.


Pendapat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp