AIM SALUR RM1.487 BILION KEPADA 317,260 USAHAWAN KECIL BAGI TEMPOH JANUARI – JUN 2025

17

KOTA BELUD, 1 September – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyalurkan  pembiayaan berjumlah RM1.487 bilion kepada 317,260 usahawan di seluruh negara  sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata,  daripada jumlah itu, sebanyak RM178.143 juta disalurkan kepada 30,288 Sahabat  AIM di Wilayah Sabah. 

“Bagi kawasan Kota Belud, AIM menyalurkan pembiayaan sebanyak RM15.570 juta  kepada 1,935 usahawan, manakala di Kadamaian sahaja, sebanyak RM3.4 juta  disalurkan kepada 1,312 usahawan. 

“Saya berharap pembiayaan ini dapat diteruskan untuk menyokong usahawan usahawan informal dan usahawan-usahawan kecil di seluruh negara,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mini Karnival  Sahabat Usahawan AIM Cawangan Kota Belud dan Pembukaan Rasmi Tamu Desa  Ponginapuan, Kampung Rengalau, di sini, hari ini. 

Ewon berkata, Sabah mencatatkan bilangan Sahabat AIM tertinggi iaitu seramai  52,680 orang termasuk 3,570 Sahabat AIM Cawangan Kota Belud. 

Menurutnya, Mini Karnival itu amat penting sebagai platform mengeratkan silaturahim  sesama Sahabat AIM selain menggalakkan usahawan kecil membudayakan  pembayaran secara digital. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para Sahabat AIM yang berjaya  merancakkan ekonomi mikro di daerah ini serta mengiktiraf usaha AIM membantu  wanita luar bandar keluar dari kemiskinan dan membina kejayaan sebagai usahawan  kecil. 

Pada majlis itu, selain perasmian Tamu Desa, turut diadakan penyampaian cek cura  pembiayaan AIM berjumlah RM15.57 juta kepada Cawangan Kota Belud serta  penyampaian beberapa anugerah termasuk Anugerah Sahabat Setia, Sahabat  Usahawan Berjaya, Anugerah CMCCS Terbaik, Anugerah Pusat Tertinggi OE dan  Anugerah Sahabat Usahawan Muda dan Berjaya. 

Karnival itu turut dimeriahkan dengan Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan  (JMKU) anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang menawarkan potongan  harga sehingga 20 peratus bagi barangan keperluan harian, pertandingan busana  tradisional terbaik dan pertandingan masakan tradisional Hinava. 

Turut hadir, Pengarah Urusan AIM, Dato’ Mohamed Shamir Abdul Aziz; Timbalan  Pengarah Urusan (Operasi) dan Timbalan Pengarah Urusan (Kewangan), Haji Jani  Izwandy Che Jan; serta pegawai pengurusan AIM Wilayah Sabah dan wakil-wakil  agensi KUSKOP. 

E Arkian

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp