Spina Bifida Bukan Penghalang, Airish Hani Bersinar di Pentas Bicara Berirama

29

Ditulis oleh : Roszaidi Ramlee

Muar – Di sebalik senyuman manis dan lantunan suara yang penuh bertenaga di atas pentas, tersimpan sebuah kisah keazaman luar biasa. Nur Airish Hani Roszaidi, salah seorang peserta pasukan bicara berirama SMK IJ Convent Johor Bahru, bukan sekadar peserta biasa, tetapi beliau penyandang status OKU Fizikal yang bersinar di pentas ini.


Dilahirkan dengan Spina Bifida, satu keadaan yang memberi cabaran kepada keupayaan fizikalnya sejak kecil, Airish yang kini berusia 14 tahun tidak pernah membenarkan statusnya menjadi penghalang. Sebaliknya, beliau memilih untuk menongkah arus, berusaha dengan penuh iltizam untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakan-rakannya dalam arus perdana.


Mengambil peluang, Airish menyertai pasukan Bicara Berirama kerana melihat bidang ini menuntut keseragaman vokal, gerak tari, dan disiplin yang tinggi.


“Pada awalnya, saya diajak oleh rakan-rakan tetapi apabila saya sudah menyertai sendiri, saya lihat aktiviti bicara berirama ini bukan hanya sekadar tampil seragam diatas pentas, tetapi disiplin dan tekad yang besar serta kerjasama pasuka menjadi upaya besar untuk pasukan tampil sempurna diatas pentas,” katanya.

SMK Convent mewakili Daerah Johor Bahru meraih tempat keempat kategori sekolah menengah di Pertandingan Bicara Berirama Peringkat Negeri Johor 2025

Sebelum ini, Pasukan Bicara Berirama SMK Convent dinobat sebagai Juara dan mewakili Daerah Johor Bahru untuk bertanding di pentas Peringkat Negerj yang berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh pada selasa lepas. Airish dan rakan-rakan berjaya meraih tempat keempat di pertandingan tersebut.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua guru-guru dan rakan-rakan yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan sokongan kepada kami. Hasil ini adalah senyuman untuk kami dan semoga di kejohanan akan datang, kami akan menggegarkan pentas sekali lagi dan berusaha lebih keras untuk perjgi lebih jauh,” ujarnya.

Kisah Nur Airish Hani adalah bukti hidup bahawa semangat dan iltizam mampu merobohkan tembok halangan. Beliau menjadi contoh teladan, bukan sahaja kepada rakan-rakan Murid Berkeperluan Khas (MBPK) yang lain, tetapi kepada semua remaja di luar sana. Kegigihannya mengajar kita bahawa untuk berjaya, kita tidak perlu menjadi sempurna; kita hanya perlu berani untuk mencuba.

Kejayaannya juga menggariskan betapa pentingnya sebuah ekosistem sokongan yang padu. Di belakang Airish, berdiri teguh keluarganya yang tidak pernah lelah memberi dorongan, para guru yang sentiasa percaya akan potensinya, rakan-rakan yang menerima tanpa syarat, serta pihak sekolah dan masyarakat yang membuka ruang dan peluang.

Jelasnya, ini menmbuktikan bahawa dengan pendidikan, ia menjadi tempat untuk anak-anak bangsa terus bersinar dalam kebolehan dan keupayaan mereka. Pendidikan yang didasari dengan kasih sayang, akan menumbuhkan lebih ramai lagi penerus bangsa yang cinta akan ilmu dan memberi warna baru dalam kemajuan ekosistem pendidikan negara.

Pendapat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp