
Kredit Photo : Halaman Facebok Rasmi Yeo Bee Yin
Puchong, 2 April 2025 – Kebakaran paip gas yang berlaku di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, baru-baru ini telah menyebabkan gangguan kepada beberapa kawasan berhampiran, termasuk dua kampung dalam Kawasan Parlimen Puchong, iaitu Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Tengah.
Pasukan Pusat Khidmat Parlimen Puchong, yang diwakili oleh Jawatankuasa Perpaduan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Batu 13 Puchong, telah bertindak pantas dengan mengedarkan bantuan makanan dan barangan keperluan asas kepada mangsa-mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Nurul Iman, Kampung Tengah, serta Surau Usmaniah, Kampung Kuala Sungai Baru. Mangsa-mangsa kemudiannya dipindahkan ke PPS Dewan Masjid Putra Heights, di bawah Dun Kota Kemuning, Parlimen Kota Raja.
Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, dalam kenyataannya menyampaikan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Besar kerana mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 untuk mangsa kategori ‘total loss’ dan RM2,500 untuk keluarga terjejas. Beliau turut mengumumkan sumbangan tambahan daripada pejabatnya berupa wang tunai segera RM1,000 kepada setiap keluarga dalam kategori ‘total loss’ dari kedua-dua kampung tersebut bagi membantu keperluan kecemasan.
“Pengagihan sumbangan tunai RM1,000 ini akan bermula hari ini. Bagi mangsa yang masih berada di kampung halaman, kami akan mengaturkan pengagihan susulan,” kata Yeo Bee Yin.
Bagi mangsa kategori lain, beliau berkata sumbangan tunai akan diagihkan sebaik sahaja data sah terkini diperoleh. Untuk sebarang keperluan kecemasan, mangsa boleh menghubungi Pengerusi JPKK Batu 13, Tok Fiqrie, di talian 011-27217445.
“Sebanyak RM10,000 telah diperuntukkan untuk tindakan kecemasan lain, dan kami bersedia menambah peruntukan jika perlu. Pasukan kami komited untuk membantu,” tambahnya.
Yeo Bee Yin menegaskan bahawa pejabatnya akan terus memantau situasi dan memastikan bantuan sampai kepada semua yang memerlukan.