
Kredit Gambar : Halaman Facebook JKM
PUTRA HEIGHTS, 1 April 2025 – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor telah mengaktifkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights bagi menempatkan mangsa terkesan akibat insiden kebakaran saluran paip gas di kawasan ini. Kebakaran tersebut, yang diklasifikasikan sebagai Bencana Tahap 1, memerlukan tindakan segera untuk memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk yang terlibat.
Setakat pukul 1.00 tengah hari ini, seramai 49 mangsa daripada 17 keluarga telah dipindahkan dan ditempatkan di PPS berkenaan. Mangsa disediakan pelbagai kemudahan asas termasuk makanan, set kebersihan diri, kelengkapan tidur, air minuman serta kudapan bagi memastikan keselesaan mereka sepanjang tempoh pemindahan.
KPWKM melalui JKM terus menjalin kerjasama rapat dengan agensi-agensi lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa terjamin. Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam menangani situasi kecemasan dengan cekap dan efektif.
Orang ramai di kawasan berhampiran diminta untuk tidak mendekati lokasi kejadian dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan demi mengelakkan sebarang risiko keselamatan. Bagi mangsa yang memerlukan bantuan lanjut, mereka boleh menghubungi Talian Kasih KPWKM yang beroperasi 24 jam melalui talian bebas tol 15999, aplikasi WhatsApp di nombor 019-26 15999, atau Aplikasi Mudah Alih Talian Kasih.
KPWKM dan agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan situasi dan memberikan sokongan sewajarnya kepada mereka yang terkesan.