Bangunan Mercu Alam Bina UM diiktiraf ‘hijau’

22

Universiti Malaya (UM) terus memperkukuh reputasinya sebagai institusi pendidikan tinggi yang komited terhadap kelestarian apabila Bangunan Mercu Alam Bina secara rasminya menerima pensijilan Green Building Index (GBI), seterusnya menjadikannya antara bangunan di UM yang pertama mencapai pengiktirafan berprestij ini.

Bangunan Mercu Alam Bina, Universiti Malaya

Pensijilan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap reka bentuk dan operasi bangunan yang lestari, efisien dari segi tenaga dan sumber, serta memberi keselesaan kepada pengguna. Bangunan Mercu Alam Bina yang menempatkan Fakulti Alam Bina telah dinilai dengan pendekatan lestari yang menyeluruh, merangkumi elemen pengudaraan semula jadi, pencahayaan semula jadi, penjimatan air dan tenaga, serta landskap hijau yang menyokong biodiversiti kampus.

Professor Sr Ts. Dr. Azlan Shah Ali, Dekan Fakulti Alam Bina berkata, pensijilan ini mengukuhkan dan menyumbang kepada kedudukan universiti dalam penarafan berkaitan dengan kelestarian seperti  QS World University Rankings (Sustainability), THE Impact Rankings dan juga UI GreenMetric World University Rankings. 

“Pensijilan ini juga meningkatkan kredibiliti UM sebagai universiti bertaraf dunia yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik tetapi juga dalam komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat. Kami komited membantu universiti dalam menghijaukan enam lagi bangunan di kampus melalui khidmat perunding dalaman fakulti”, katanya. 

Turut hadir memeriahkan majlis adalah Profesor Dr. Yvonne Lim Ai Lian – Penolong Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Ar. Sarly Adre Sarkum -Ketua Pegawai Eksekutif, Green Building Index Sdn Bhd, barisan pengurusan Fakulti Alam Bina dan komuniti kampus.

Warga Fakulti Alam Bina di majlis penganugerahan sijil GBI

Prof. Madya Sr Dr. Noor Suzaini Mohamed Zaid, Ketua Penyelidik Projek berkata, UM memiliki lebih daripada 500 blok bangunan di seluruh kampus dan setiap satunya menyumbang kepada impak karbon, penggunaan tenaga, dan kesejahteraan warganya. Pensijilan GBI bagi Mercu Alam Bina bukan sahaja simbolik, tetapi menjadi penanda aras strategik ke arah kelestarian menyeluruh infrastruktur kampus.

Majlis penganugerahan ini diadakan bersempena Sambutan Jubli Perak Fakulti Alam Bina. Sepanjang 25 tahun penubuhannya, fakulti telah melalui pelbagai fasa perkembangan dan transformasi yang signifikan. Sambutan ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti, termasuk pameran pelajar, reruai maklumat kemasukan, taklimat, dan pameran bertaraf antarabangsa. Turut diadakan ialah majlis pertukaran memorandum persefahaman antara UM dan Green Building Index Sdn. Bhd.

Prof Sr Ts. Dr. Azlan Shah Ali, Dekan Fakulti Alam Bina (kanan) menerima pensijilan GBI daripada Ar Sarly Adre Sarkum

“GBI bukan sahaja memperlihatkan komitmen kita kepada kelestarian, tetapi juga membuka ruang untuk pelaporan ESG yang lebih telus dan berwibawa. Data penggunaan tenaga, pengurusan air dan impak karbon daripada sistem GBI ini akan menjadi asas kepada pembangunan Laporan Tahunan ESG universiti” kata Professor Dr. Yahaya Ahmad, Penolong Naib Canselor Strategik Korporat semasa Majlis Sambutan Jubli Perak bagi Fakulti Alam Bina. 

Katanya lagi, Mercu Alam Bina menjadi contoh praktikal bagaimana universiti boleh memimpin dalam pelaksanaan agenda kelestarian yang bukan sekadar sebagai peserta tetapi sebagai pencetus kepada perubahan dasar, inovasi teknologi dan gaya hidup lestari dalam konteks pendidikan tinggi. 

Mengulas lanjut, Prof. Madya Sr. Dr. Noor Suzaini Mohamed Zaid menjelaskan bahawa Bangunan Mercu Alam Bina berfungsi sebagai makmal hidup kepada para pelajar untuk mempelajari secara praktikal tentang proses dan kriteria pensijilan bangunan hijau. Malah memberi peluang kepada para penyelidik untuk menjalankan kajian, mencuba teknologi baharu, dan seterusnya meningkatkan tahap kelestarian bangunan dari semasa ke semasa


Prof. Madya Sr. Dr. Noor Suzaini Mohamed Zaid

Prof. Madya Sr. Dr. Noor Suzaini Mohamed Zaid, Ketua Penyelidik GBI-UM, Jabatan Ukur Bangunan, Fakulti Alam Bina

Pendapat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp