
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Encik Shariman Yusuf Mohamed Zain bersama YB. Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) membuat agihan bubur lambuk di Bazar Ramadan, Presint 3 Putrajaya.
Putrajaya, 19 Mac 2025 – Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), anak syarikat Malakoff
Corporation Berhad (“Malakoff”), sebagai peneraju dalam penyelesaian alam sekitar, meneruskan usaha mendidik orang ramai mengenai penggunaan beg guna semula sebagai sebahagian daripada inisiatif kelestarian dan alternatif kepada beg plastik sekali guna yang memberi kesan terhadap alam sekitar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Shariman Yusuf Mohamed Zain, penggunaan beg plastik sekali guna memberi impak yang besar termasuk pencemaran dan kemusnahan ekosistem. Oleh itu, kami ingin mengajak orang ramai untuk bersama-sama membudayakan amalan membawa beg guna semula sebagai langkah mudah untuk memastikan persekitaran yang lebih bersih dan sihat. Ia juga bagi memudahkan orang ramai untuk membuat perubahan positif dalam amalan harian mereka.
Selain itu, Alam Flora turut menggalakkan penggunaan semula bekas makanan yang dibawa sendiri ke bazar Ramadan untuk mengurangkan pembuangan sampah. Ini juga dapat mengelakkan pembelian berlebihan yang boleh mengakibatkan pembaziran dan peningkatan jumlah sisa di tapak pelupusan.
Sebagai langkah memberi didikan dan kesedaran secara berterusan, Alam Flora telah mengagihkan sebanyak 350 beg guna semula dan 2,000 pek bubur lambuk di dalam bekas yang boleh guna semula kepada pengunjung di Bazar Ramadan, Presint 3, Putrajaya dan bagi membantu orang ramai menyahut seruan ini.
“Jika secara purata kita menggunakan tiga beg plastik ketika membeli makanan selama sebulan di dalam bulan Ramadan dan jika kita menggantikannya dengan beg guna semula, anda telah mengurangkan sebanyak 90 beg plastik daripada ianya dibuang ke tapak pelupusan. Bayangkan, kalau didarabkan dengan beratus ribu orang.” tegas Shariman.
Beliau berkata demikian selepas program Kongsi Rezeki Alam Flora bersama Perbadanan Putrajaya sempena Festival Ramadan Putrajaya. Hadir sama untuk mengagihkan beg guna semula dan bubur lambuk ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Datuk Seri Dr. Zaliha binti Mustafa dan Dato’ TPr. Fadlun bin Mak Ujud, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj)
Menurut Dato’ Fadlun, Sempena Penganjuran Festival Ramadan Putrajaya buat kali ke 13 di tahun 2025, PPj meneruskan pelbagai program dan kempen kelestarian alam selaras dengan hasrat Kerajaan menjadikan Putrajaya sebagai peneraju bandar hijau karbon rendah dengan sasaran pengurangan intensiti pelepasan GHG sebanyak 60 peratus menjelang tahun 2030.
Bertemakan ’Go Green’ Bazar Ramadan Putrajaya, aktiviti yang diadakan termasuklah Cashless Bazar Ramadan; Kempen Hindari Penggunaan Plastik Sekali Guna; Bawa Beg / Bekas Sendiri; Guna Produk Bio-degradasi; MySave Food@ Bazar Ramadan; dan Elakkan Pembaziran Makanan (Beli Apa Yang Perlu). Turut dilaksanakan Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai (Jom Bio-diesel) dan Kempen Pengurangan Sisa Organik Melalui Pengkomposan di Bazar Ramadan dengan kerjasama Alam Flora.
.
Usaha kecil dari Alam Flora ini diharapkan dapat mencetus kepada satu anjakan tabiat membeli-belah yang lebih lestari dan positif terhadap alam sekitar apabila kita kurangkan penggunaan beg plastik secara total.
Alam Flora memohon kerjasama orang ramai untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora di talian 1-800-88-7472 yang beroperasi setiap hari dari jam 8.00 pagi sehingga 8.00 malam untuk berkongsi maklumat tahap kebersihan di kawasan masing-masing supaya tindakan susulan yang bersesuaian boleh diambil.
Inisiatif ini adalah merupakan sebahagian daripada tonggak perniagaan Malakoff, aspirasi Penyelesaian Alam Sekitar Malakoff untuk memberi tumpuan kepada pengurusan alam sekitar dan penyelesaian yang didedikasikan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan planet ini. Ia juga selaras dengan Matlamat SDG PBB No. 11 di mana ia bertujuan untuk menjadikan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan serta menyokong tujuan menyeluruh Malakoff iaitu ‘Enhancing Life, Enriching Communities’.