By Puteri Nur Nasuha Idayu Mohd Nazri

Setiap kali musim perayaan atau cuti panjang, pasti kita dapat melihat ribuan kenderaan membanjiri lebuh raya utama menuju ke Pantai Timur. Fenomena ini bukanlah satu perkara luar biasa, sebaliknya ia merupakan fenomena tahunan yang melibatkan perantau dari negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang yang menetap dan bekerja di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Mereka sanggup menempuh perjalanan berjam-jam lamanya, kadang-kadang hingga mengorbankan waktu tidur, asalkan dapat menjejakkan kaki di tanah tumpah darah sendiri.
Bagi warga Pantai Timur yang berada di perantauan, aktiviti pulang ke kampung bukan sekadar satu percutian semata-mata tetapi satu keperluan emosi, spiritual dan terapi merawat stres yang tidak boleh dicari di mana-mana pusat membeli-belah. Bercuti di kampung merupakan ruang untuk menenangkan fikiran daripada kesibukan hidup di kota. Tidak kira sama ada musim cuti sekolah, cuti umum mahupun cuti hujung minggu, perantau tidak akan melepaskan peluang untuk pulang walaupun hanya untuk seketika. Mereka sanggup memandu pada waktu malam atau awal pagi, asalkan sempat sampai ke rumah untuk bersarapan bersama keluarga.
Tambahan pula, kini semakin banyak medium pengangkutan yang tersedia memudahkan urusan pulang ke kampung. Selain memandu sendiri, ramai yang memilih untuk menaiki bas ekspres yang menawarkan pelbagai jadual perjalanan siang dan malam. Perkhidmatan kereta api juga menjadi pilihan kerana keselesaan dan pemandangan yang menyegarkan sepanjang perjalanan. Bagi yang lebih mampu dan ingin menjimatkan masa, penerbangan terus ke Kota Bharu, Kuala Terengganu atau Kuantan menjadi pilihan utama terutama ketika musim perayaan.
Lebih menarik lagi, satu lagi kemudahan besar buat warga Pantai Timur iaitu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang giat dibina. Apabila siap kelak, ECRL dijangka mempercepatkan masa perjalanan antara Pantai Timur dan Lembah Klang serta menjadikan perjalanan lebih mudah, cepat dan selesa. Kemudahan ini pastinya akan meningkatkan lagi kekerapan perantau pulang ke kampung, malah mungkin menjadi pilihan utama berbanding kenderaan persendirian.
Warga Pantai Timur juga terkenal dengan semangat kekeluargaan yang utuh. Hubungan yang erat antara ahli keluarga dan komuniti setempat mendorong perantau untuk terus pulang dan tidak memutuskan ikatan tersebut. Bagi perantau, inilah masa untuk menjenguk ibu bapa yang semakin uzur, menatap wajah mereka yang sentiasa menanti di muka pintu dan menghayati pesan berharga yang saban kali diulang — tanda kasih sayang tanpa batas. Selain itu, kepulangan ke kampung membuka peluang untuk turut serta dalam pelbagai majlis adat seperti kenduri doa selamat, majlis akikah, gotong-royong atau kenduri kahwin saudara terdekat. Suasana seperti ini sering dirindui kerana di sinilah terjalin kembali ikatan silaturahim antara sanak saudara dan jiran tetangga. Sudah pasti, detik-detik bersama keluarga dan masyarakat kampung inilah yang menjadi kenangan terindah dan pengubat rindu setelah lama merantau di kota.
Kepulangan perantau bukan sahaja membawa keceriaan kepada keluarga, malah memberi impak ekonomi kepada penduduk kampung. Gerai makan, pasar tani dan peniaga tempatan mendapat lonjakan pendapatan apabila kampung kembali meriah. Aktiviti sosial seperti kenduri, gotong-royong dan majlis keagamaan juga kembali hidup dengan kehadiran anak-anak kampung yang pulang.
Penulis juga sering kali mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman bagi mencari inspirasi dan ketenangan yang sukar diperoleh di bandar. Perjalanan pulang ke kampung ini bukan sahaja memberi ruang untuk berehat, tetapi juga membuka mata kepada pelbagai pengalaman menarik. Dengan menggunakan pengangkutan sendiri seperti kereta peribadi, penulis berasa lebih bebas untuk mengatur jadual perjalanan mengikut keselesaan sendiri serta dapat berhenti di mana-mana tempat yang menarik sepanjang perjalanan untuk mengambil gambar atau sekadar menikmati pemandangan indah. Namun, cabaran yang sering dihadapi ialah kesesakan lalu lintas terutama apabila musim perayaan tiba — yang memerlukan kesabaran dan perancangan awal.
Kesimpulannya, pulang ke kampung bagi warga Pantai Timur bukan sekadar rutin atau adat, tetapi sebahagian daripada identiti dan jati diri mereka. Walau sejauh mana mereka merantau, hati tetap terpaut pada tanah tumpah darah. Dengan kemudahan pengangkutan yang semakin baik dan hubungan kekeluargaan yang kukuh, budaya pulang ke kampung ini pasti akan terus subur dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Penulis merupakan Pembantu Setiausaha Pejabat di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM)