Oleh Monika @ Munirah Abd Razzak
Sepuluh malam terakhir Ramadan merupakan kemuncak sebenar ibadah puasa dan peluang terakhir yang sangat berharga sebelum bulan yang mulia ini meninggalkan kita. Pada malam-malam inilah Allah SWT menjanjikan Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Ramadan mungkin terasa berlalu dengan pantas, namun hakikatnya yang paling bernilai belum berakhir. Inilah masa untuk menilai kembali sejauh mana kesungguhan kita sebagai hamba, dan sejauh mana kita benar-benar memahami tawaran ganjaran yang Allah sediakan.
Bayangkan jika seseorang ditawarkan satu tugasan selama sepuluh hari dengan ganjaran bonus gaji setahun. Sudah tentu tawaran itu tidak akan ditolak dan pasti dilaksanakan dengan sepenuh hati. Persoalannya, bagaimana pula jika ganjaran tersebut sebenarnya bersamaan dengan pendapatan selama 83 tahun? Bagaimana jika ganjaran itu datang daripada Allah yang memiliki segala khazanah di langit dan bumi? Inilah hakikat yang ditegaskan oleh firman Allah, “Lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan,” iaitu bersamaan 83 tahun 3 bulan ibadah. Tidak ada pelaburan dunia yang mampu menandingi pulangan akhirat yang Allah tawarkan dalam sepuluh malam terakhir ini.
Memasuki sepuluh malam terakhir Ramadan, tidak seharusnya sekadar ghairah memburu kelebihan Lailatul Qadar dengan amalan bermusim, tetapi kembali kepada asas yang paling Allah cintai, iaitu menunaikan solat fardu dengan sempurna. Terutama menjaga solat lima waktu pada awal waktu, berusaha solat berjemaah dan tidak mengabaikan solat Jumaat adalah syarat utama sebelum mengimpikan ganjaran malam al-Qadar. Dalam hadis qudsi ditegaskan bahawa tiada amalan yang lebih dicintai Allah untuk mendekatkan diri kepada-Nya melainkan amalan fardu.
Perkara kedua ialah menghidupkan malam dengan qiamullail walaupun ringkas. Dua atau empat rakaat yang dilakukan dengan khusyuk lebih bernilai daripada ibadah panjang tanpa penghayatan. Solat tarawih bersama imam sehingga selesai termasuk witir pula dijanjikan pahala seperti solat sepanjang malam. Jika mampu, lakukan i‘tikaf di masjid sebagaimana sunnah Rasulullah SAW, dan jika tidak, wujudkan ruang khas di rumah sebagai tanda kesungguhan beribadah.
Manakala perkara ketiga ialah memperbanyakkan bacaan al-Quran walaupun sedikit tetapi berterusan. Membaca satu atau dua muka surat setiap malam dengan memahami maknanya lebih mendekatkan hati kepada Allah berbanding bacaan yang banyak tetapi tergesa-gesa. Bagi yang tidak sempat mengkhatamkan al-Quran, jangan berputus asa. Pastikan baca surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali. Jika ia dilakukan pada malam yang bertepatan dengan Lailatul Qadar, ganjarannya seolah-olah khatam al-Quran setiap malam selama lebih 83 tahun. Manakala dua ayat terakhir surah al-Baqarah iaitu ayat 285 dan 286 pula dijanjikan mencukupi bagi pembacanya. Semua ini adalah galakan agar setiap detik dimanfaatkan.
Perkara keempat ialah memastikan zikir tidak ditinggalkan. Antara zikir asas yang perlu sentiasa dibaca ialah Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar dan La ilaha illallah. Tasbih, tahmid, takbir dan tahlil ini akan menjadi pohon di syurga, manakala kalimah Subhanallahi wa bihamdih, Subhanallahil ‘Azim pula ringan di lidah tetapi berat di timbangan dan dicintai Allah. Apatah lagi zikir boleh dibaca dalam apa jua keadaan kerana lidah yang basah dengan zikir akan menghidupkan hati walaupun tubuh keletihan.
Sementara perkara kelima ialah banyakkan istighfar dengan penuh pengakuan dosa serta berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW kerana selawat membuka pintu rahmat dan memudahkan doa diterima. Jangan tinggalkan doa yang diajarkan Rasulullah SAW untuk malam al-Qadar iaitu “Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa‘fu ‘anni,” yang merangkumi harapan terbesar seorang hamba, iaitu keampunan dari Allah SWT.
Selanjutnya, perkara keenam ialah memperbanyakkan sedekah. Walaupun hanya beberapa ringgit yang dihulurkan setiap malam, jika ia bertepatan dengan malam al-Qadar, ganjarannya dilipatgandakan melebihi segala hitungan biasa, seolah-olah nilainya mengalir sepanjang lebih seribu bulan. Maka ubahlah cara berfikir, jangan tertumpu pada jumlah yang keluar dari tangan, tetapi renungkan pahala yang pasti akan memberatkan timbangan di akhirat kelak.
Akhirnya, perkara ketujuh ialah melakukan amalan kebaikan secara senyap yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Sama ada membantu orang lain tanpa mengharapkan pujian, memindahkan sejumlah wang ke akaun mereka yang memerlukan, memudahkan urusan hidup orang dengan memberi peluang pekerjaan atau mendoakan seseorang tanpa pengetahuannya. Lebih-lebih lagi terhadap mereka yang dizalimi, ditindas serta diuji dengan kemiskinan dan peperangan. Jangan bangun dari sujud tanpa menyelitkan doa buat mereka, kerana doa seorang mukmin untuk saudaranya adalah tanda hati yang hidup dan penuh ihsan. Sesungguhnya amalan tersembunyi inilah yang sering menjadi sebab seseorang diangkat darjatnya dan dimuliakan di sisi Allah SWT.
Sesungguhnya menjadi umat Nabi Muhammad SAW ialah nikmat yang sangat besar. Amalan yang kelihatan kecil dilipatgandakan dengan ganjaran luar biasa, apatah lagi jika bertepatan dengan malam al-Qadar. Tidak semua orang diberi peluang bertemu Ramadan, dan tidak semua yang bertemu Ramadan diberi kefahaman tentang nilai sepuluh malam terakhirnya.
Jangan biarkan malam yang menyamai lebih 83 tahun ibadah berlalu tanpa usaha bersungguh-sungguh. Kerana jika kita sanggup bekerja keras demi ganjaran dunia yang sementara, maka lebih layak lagi kita berusaha sepenuh hati demi ganjaran Allah yang kekal abadi. Semoga kita keluar dari Ramadan sebagai insan yang diampuni, diredai dan benar-benar berubah menuju takwa.

Prof Madya Dr Monika @ Munirah Abd Razzak ialah Profesor Madya di Jabatan Al-Quran & Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
