KOTA KINABALU, 17 Julai – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengumumkan, sebanyak 46 Tamu Desa di seluruh Sabah telah dikenalpasti untuk dibina atau dinaiktaraf pada tahun ini.

Projek-projek tersebut akan dilaksanakan di 28 pejabat daerah penuh dan daerah kecil dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM10 juta di bawah peruntukan pembangunan premis Tamu Desa oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Pada tahun ini, kita menerima peruntukan sebanyak RM10 juta di bawah Belanjawan 2025 bagi melaksanakan pembangunan premis Tamu Desa.
“Semasa perasmian penutupan Program MADANI Rakyat Sabah di Tawau pada 11 Mei tahun ini, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi meneruskan pembangunan premis Tamu Desa di Sabah.
“Selepas ini, saya akan ke Sarawak untuk berbincang mengenai pelaksanaan pembangunan Tamu Desa Sarawak tahun ini,” katanya selepas mempengerusikan sesi libat urus Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah (MPUKPPD) Sabah di sini, semalam.
Terdahulu itu, Ewon turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 15 pegawai daerah sebagai pengerusi MPUKPPD serta surat kuasa pelaksanaan projek pembangunan Tamu Desa bagi 15 daerah yang terlibat.

“Mengambil kira pengalaman pelaksanaan kali pertama pembangunan premis Tamu Desa tahun lepas, kita menambah baik tadbir urus dengan menetapkan agar status tanah tapak Tamu Desa haruslah disahkan oleh pejabat daerah supaya tiada isu pertikaian atau memang diperuntukkan untuk pembinaan tamu.
“Sebanyak 15 pejabat daerah telah memberikan ulasan dan pengesahan bertulis mengenai tapak-tapak Tamu Desa di daerah tadbiran masing-masing yang tidak mempunyai isu. Justeru KUSKOP mengeluarkan surat kuasa pelaksanaan agar perolehan projek tersebut boleh dimulakan.
“Manakala daerah-daerah yang selebihnya, kita masih menunggu pengesahan bertulis daripada pejabat-pejabat daerah sebelum KUSKOP mengeluarkan surat kuasa pelaksanaan projek,” katanya.
Ewon berharap agar pelaksanaan projek Tamu Desa dapat memberikan kemudahan yang selesa kepada usahawan-usahawan tamu atau peniaga-peniaga kecil.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan.