Kuala Lumpur, 16 Januari 2026 – Seramai 3.1 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Kategori Bujang mula menerima bantuan tunai melalui mekanisme Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula hari ini.
Inisiatif kerajaan ini bertujuan membantu golongan B40, miskin tegar, miskin dan sederhana, terutama belia bujang yang terkesan akibat cabaran ekonomi serta peningkatan kos sara hidup.
Menurut kenyataan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), STR Kategori Bujang adalah bantuan tunai yang direka untuk meringankan beban kewangan serta memenuhi keperluan asas harian penerima. Bantuan ini dianggap sangat bermakna kepada belia yang sedang membina kerjaya, bekerja sendiri atau berpendapatan rendah.
KBS turut menasihatkan penerima supaya menguruskan bantuan dengan bijaksana dengan mengutamakan keperluan asas, mengelak pembaziran serta memanfaatkan peluang untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran diri.
“KBS akan terus komited menyokong kebajikan dan pembangunan belia selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” kata kenyataan itu.
