
Gambar hiasan oleh Aziz Acharki - Unsplash
Oleh Mohd Anuar Ramli
Bertemu dan berpisah adalah adat kehidupan. Setiap pertemuan, pasti ada perpisahan disebabkan pelbagai faktor dan latar belakang. Ada pertemuan yang membibitkan perpisahan yang baik dan sebaliknya terdapat juga perpisahan dalam keadaan yang tidak baik. Bagi seorang Muslim yang beriman, kehadiran Ramadan merupakan detik yang dinanti-nantikan dan bakal dihargai dengan sebaiknya, manakala bagi segelintir Muslim yang lain, mereka tidak merasai nikmat kehadiran Ramadan sebagai bulan yang penuh dengan keberkatan, jadi mereka mensesia-siakannya. Bagi golongan pertama, mereka mengisi sebulan Ramadan dengan amal ibadat seperti puasa, solat sunat, dan tilawah al-Quran di samping amal saleh seperti aktiviti kebajikan dan bersedekah. Sedangkan golongan kedua tidak memanfaatkan ganjaran yang ditawarkan di bulan Ramadan. Jadi, golongan pertama mengharapkan sebuah penutup dan perpisahan yang baik (husn al-khawatim), iaitu mendapat keampunan Allah SWT, limpahan nikmat dan rahmat, kesan perubahan yang positif di samping amal ibadah di terima oleh Allah SWT.
Selari dengan itu juga, terdapat beberapa golongan dalam berhadapan dengan kedatangan Aidilfitri. Ada orang yang menyambut Aidilfitri dengan perasaan yang bercampur-campur, antara sedih dan gembira, ada yang sedih semata-mata, ada yang gembira sesungguhnya dan ada mereka yang tiada sebarang perasaan atau hambar. Asasnya, Aidilfitri adalah sambutan hari kemenangan buat umat Islam dalam berjihad melawan hawa nafsu dan maksiat. Walaupun kehadirannya dalam tempoh yang terbatas selama sebulan, tetapi ia akan meninggalkan kesan mendalam terhadap kehidupan seorang Muslim sepanjang tahun. Proses pentarbiyahan selama sebulan meninggalkan pelbagai modul ibadat sunat dan amal saleh yang masih boleh diteruskan melainkan ibadat yang hanya dikhususkan dalam bulan Ramadan. Umpamanya solat sunat masih boleh diteruskan, puasa sunat boleh diamalkan dan amal saleh seperti sedekah dan menjamu orang makan boleh dilakukan secara konsisten kerana orang fakir dan miskin masih lagi wujud di luar bulan Ramadan.
Seorang Muslim pastinya mempunyai perasaan berbaur antara suka dan sedih dengan kedatangan Aidilfitri. Mereka gembira dengan kejayaan menahan lapar dan dahaga serta desakan nafsu syahwat selama sebulan, di samping mereka berasa sedih kerana bulan yang yang menjanjikan 1001 ganjaran pahala bagi setiap amal ibadat dan amal saleh telah pergi. Mereka berharap agar dapat menjadi tetamu Ramadan lagi di tahun mendatang. Dalam pada itu, terdapat mereka yang benar-benar gembira dengan pemergian Ramadan seolah hilangnya bebanan dalam berhadapan dengan kesukaran makan dan minum di siang hari. Golongan yang lain pula tiada perasaan kerana bagi mereka kehadiran aidilfitri tiada makna signifikan sama ada disebabkan dosa dan maksiat yang berterusan di bulan puasa ataupun mereka mengalami trauma di sebalik peristiwa tragis atau kehilangan insan tersayang.
Dalam menyambut kehadiran Aidilfitri, Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa amalan Sunnah yang boleh diamalkan oleh umat Islam, di antaranya adalah mandi sunat aidilfitri, memakai pakaian yang terbaik, solat sunat Aidilfitri, saling mengucapkan tahniah, bermaafan dan saling ziarah menziarahi. Bagi masyarakat Islam khususnya di Malaysia, kehadiran Syawal di sambut dengan meriah. Di samping pensyariatan amalan sunat tersebut, mereka meraikannya dengan tradisi yang baik seperti mudik ke kampug halaman, menyediakan juadah perayaan seperti makanan ketupat, lemang dan rendang serta kuih muih, berpakaian serba baharu dan mengadakan rumah terbuka dalam tempoh sebulan Syawal.
Namun begitu, terdapat juga beberapa amalan yang buruk yang perlu dihindarkan atau ditinggalkan terutamanya ketika menyambut Syawal agar proses kembali kepada fitrah yang suci tidak dicemari dengan kekotoran noda dosa dan maksiat. Di antaranya adalah, pertama, tidak menormalisasikan perkara maksiat dan dosa. Ia termasuklah berkhalwat bersama pasangan bukan mahram, pergaulan bebas atau ikhtilat, bersalaman dengan bukan mahram, hiburan melampau dan berpakaian yang tidak sopan atau mendedahkan aurat. Perkara ini mencemarkan kesucian bulan Syawal.
Kedua, tidak melakukan pembaziran dan berlebihan. Umpamanya menyediakan juadah raya secara berlebihan hingga dibuang, berbelanja melebihi kemampuan kewangan sehingga berhutang, membakar mercun dan bunga api secara melampau dan seumpamanya. Perbuatan ini perlu ditinggalkan.
Ketiga, tidak menormalisasikan budaya toksik ketika meraikan aidilfitri. Ia termasuklah berkomunikasi secara negatif dengan memilih topik-topik sensitif seperti isu berkaitan pekerjaan, perkahwinan, anak dan keluarga dan seumpamanya. Topik ini bersifat peribadi dan bagi mereka yang tidak mempunyai hubungan yang akrab boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada pihak-pihak. Berbuallah secara berhemah dengan topik yang sesuai agar tiada yang terguris atau terkecil hati. Situasi mungkin berbeza di antara pertanyaan yang bertujuan untuk mengambil berat atau sekadar sinikal atau sindiran. Jika kita tidak mampu menambah kegembiraan dalam kehidupan orang lain, jangan menyapu garam pada luka sedia ada. Begitu juga, tidak melakukan perbandingan di antara satu sama lain. Setiap orang mempunyai perjuangan hidup yang tersendiri dan mereka melalui pelbagai pengalaman suka dan duka. Jika kita tidak mampu menghidupkan jiwa orang, janganlah membunuh mereka dengan lidah kita. Di samping itu, jangan perburukkan citra hubungan antara suami-isteri, mentua-menantu, ipar duai dan jiran tetangga. Jika kita tidak mampu membawa agenda keharmonian dan perdamaian, jangan musnahkan hubungan pihak lain yang terbina dengan baik. Sehubungan dengan itu, janganlah jadi batu api neraka di musim perayaan dengan mulut puaka dan longkang kerana ia mencemarkan kesucian Syawal.
Semua budaya toksik dan buruk ini bertentangan dengan semangat sambutan Aidilfitri sebagai hari kemenangan. Jangan biarkan kejayaan menahan lapar dan dahaga selama sebulan ditewaskan dengan satu hari raya sahaja. Sedangkan Rasulullah SAW telah memberikan khabar gembira kepada umat Islam dalam hadis baginda, maknanya: “Solat lima waktu, hari Jumaat ke Jumaat (berikutnya) dan Ramadan ke Ramadan (berikutnya) akan menghapuskan (dosa-dosa) di antara tempoh tersebut sekiranya (seseorang itu) menjauhi dosa-dosa besar.” (HR Muslim). Berdasarkan hadis tersebut, Allah SWT menjanjikan keampunan dalam tempoh setahun, iaitu dari bulan Ramadan hingga Ramadan berikutnya kepada umat Islam yang taat dalam amal ibadat dan amal saleh.
Justeru, Aidilfitri perlu disambut dengan penuh bermakna dan selari dengan slogan kembali kepada fitrah, iaitu suci dari dosa. Ini disebabkan ia adalah hasil yang dituai selepas sebulan berjuang menahan lapar dan dahaga, mengekang nafsu syahwat di samping peningkatan pelbagai amal ibadat dan amal saleh sepanjang Ramadan. Ia juga menjadi petunjuk bahawa ibadah diterima atau ditolak, atau sekadar mendapat rasa lapar dan dahaga semata-mata. Dengan itu, jangan biarkan sambutan Aidilfitri dicemari dengan perkara mungkar dan maksiat. Sampai ketemu lagi Ramadan di tahun-tahun akan datang.
Profesor Madya Dr Mohd Anuar ialah Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.