
Kredit Foto : Halaman Facebook Rasmi Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin
SELANGOR, 1 April 2025 – Pusat Operasi Smart Selangor (SSOC) mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian kebakaran saluran paip gas Petronas yang berlaku di kawasan berhampiran Stesen Minyak Petronas Putra Heights, Subang Jaya, daerah Petaling pada hari ini, Selasa.
Menurut laporan awal yang diterima SSOC, kebakaran melibatkan saluran paip gas utama dan bukannya stesen minyak Petronas itu sendiri. Pihak berkuasa di lokasi mengesahkan bahawa saluran gas yang terbakar telah ditutup, namun proses pemadaman penuh masih menunggu gas dalam saluran tersebut habis.
Kebakaran tersebut turut merebak ke kawasan Kampung Kuala Sungai Baru yang berdekatan, menyebabkan beberapa buah rumah terbakar. Setakat ini, jumlah rumah yang terlibat masih belum dapat dipastikan. Laporan awal juga mendedahkan bahawa terdapat mangsa yang terperangkap di dalam rumah, dan usaha menyelamat sedang dijalankan dengan giat oleh pasukan bertindak.
Mangsa yang berjaya diselamatkan telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights. Beberapa mangsa dilaporkan mengalami kecederaan melecur dan sedang menunggu ambulans untuk rawatan lanjut. Buat masa ini, pihak masjid turut membantu menyokong keperluan mangsa.
Koordinat lokasi kebakaran adalah 3.01736, 101.58385, manakala koordinat PPS ialah 2.997600, 101.576732. Maklumat ini disahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Bencana Majlis Bandaraya Subang Jaya (JPB MBSJ).
SSOC dalam kenyataannya berkata, pihaknya akan terus memantau situasi dan mengambil tindakan susulan sewajarnya. Maklumat terkini akan disampaikan dari semasa ke semasa untuk memastikan orang ramai mendapat laporan yang tepat dan pantas.
Sebarang perkembangan lanjut akan dikemas kini oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor melalui saluran rasmi SSOC. Orang ramai diminta kekal tenang dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan bersama.