
Kredit Foto : Halaman X Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR, 29 Mac 2025 – Malaysia menyatakan rasa dukacita dan simpati yang mendalam terhadap insiden gempa bumi yang melanda Myanmar dan turut memberi kesan besar kepada Thailand, negara jiran dalam komuniti ASEAN.
Menurut laporan, kejadian tersebut telah mengorbankan nyawa, menyebabkan kecederaan serius serta merosakkan bangunan dan infrastruktur awam di kedua-dua negara.
Lebih menyedihkan, terdapat mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan, sementara pasukan penyelamat sedang bertungkus-lumus menjalankan operasi dalam keadaan yang sukar.
“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Myanmar dan Thailand dalam menghadapi saat sukar ini. Kami akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha bantuan kemanusiaan di rantau ini,” kata Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di Halaman X rasmi beliau.
Tambah Ahmad Zahid, sebagai tanda solidariti serantau, Malaysia menegaskan komitmen penuh untuk membantu negara terjejas. Pasukan SMART (Special Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team) telah dihantar ke Myanmar dan dijadual tiba di Yangon hari ini, sekitar pukul 1.00 tengah hari, bagi menyokong operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling teruk dilanda bencana.
Di samping itu, misi bantuan kemanusiaan ke Thailand sedang diselaraskan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Kerajaan Malaysia, melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), bertekad memperkukuh kerjasama serantau dengan menyediakan kepakaran, aset teknikal, dan sokongan logistik untuk meringankan penderitaan mangsa serta mempercepatkan pemulihan.” ujar Ahmad Zahid.