
Adam Saffian Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, diiringi oleh Elina Baseri, Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor menyampaikan bungkusan raya kepada kanak-kanak
Kuala Lumpur – Bersempena Syawal yang bakal tiba, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi iniasitif tanggungjawab sosial korporat, Sesama Mara, telah membawa seramai 25 orang anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At Taqwa, Puchong untuk membeli-belah dan membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Pihak pengurusanAir Selangor yang terdiri daripada Adam Saffian Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif, diiringi oleh Elina Baseri, Ketua Komunikasi Korporat, dan Azida Halidin, Ketua Projek Khas turut menyantuni anak-anak yatim tersebut dengan jamuan majlis berbuka puasa bagi bersama-sama menikmati suasana Ramadan.
“Kami berbesar hati dapat meneruskan usaha membantu golongan yang memerlukan dalam meraikan kedatangan Syawal. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Air Selangor dalam menyumbang kepada masyarakat, khususnya anak-anak yatim yang mungkin tidak berpeluang merasai kemeriahan sambutan Aidilfitri. Kami berharap program ini dapat mencipta detik yang bermakna dan kenangan indah buat mereka,” menurut Adam Saffian.
Dalam pada itu, di sepanjang bulan Ramadan, Air Selangor turut menyemarakkan semangat bulan mulia ini melalui pengagihan lebih daripada 1,200 bekas bubur lambuk di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves, dan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.
Orang ramai boleh menyumbang kepada Box of Hope secara fizikal di lima (5) lokasi Box of Hope Village Grocer iaitu Tamarind Square Cyberjaya, MyTOWN Shopping Centre Cheras, 1 Mont Kiara, Central i-City Shah Alam dan Melawati Mall Ampang. Selain itu, orang ramai turut boleh menyalurkan sumbangan secara digital melalui laman web www.airselangor.com/boxofhope.