
KUALA LUMPUR, 25 Mac 2025 – Slogan “Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada” terus menjadi pegangan utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik untuk memastikan kesejahteraan rakyat serta menjaga keselamatan dan keamanan negara.
Sempena sambutan Hari Polis Ke-218 hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof, dalam ucapan khasnya memuji semangat dedikasi dan pengorbanan anggota PDRM yang tidak pernah jemu berkhidmat sepanjang masa. Beliau menegaskan bahawa kesanggupan warga polis untuk mempertaruhkan nyawa demi rakyat dan negara adalah sesuatu yang patut disyukuri dan dihargai oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Tiada harta di dunia ini yang mampu membalas jasa dan pengorbanan anggota keselamatan kita. Semoga setiap usaha dan titis keringat yang dicurahkan mendapat ganjaran kebaikan serta keberkatan daripada Allah SWT,” ujar Fadillah dalam hantaran di halaman Facebook rasminya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua wira dan wirawati negara atas komitmen mereka, sambil menegaskan bahawa hanya Allah SWT yang mampu membalas segala jasa yang telah dicurahkan.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam ucapan juga di Halaman Facebooknya sempena Hari Polis Ke-218 berkata, PDRM sejak penubuhannya telah memainkan peranan sebagai tulang belakang dalam menjaga ketenteraman awam, membolehkan rakyat Malaysia menikmati kehidupan yang aman dan harmoni.
“Dalam kesempatan yang bermakna ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghormatan dan terima kasih kepada seluruh anggota dan pegawai Sang Saka Biru, sama ada yang masih bertugas mahupun yang telah bersara. Setiap usaha dan pengorbanan anda akan terus dikenang dan dihargai,” katanya.
Beliau turut menekankan slogan “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” sebagai lambang kerjasama erat antara PDRM dan rakyat, yang menjadi asas kukuh dalam mengekalkan keamanan negara.
Sambutan Hari Polis Ke-218 ini bukan sahaja meraikan jasa PDRM, tetapi juga menjadi platform untuk memperbaharui komitmen rakyat dalam mendukung tugas mulia pasukan keselamatan tersebut.