
Johor, 24 Mac 2025 – Hujan lebat yang melanda selama dua hari bermula 19 Mac 2025 telah menyebabkan banjir di pelbagai kawasan di Johor sejak 20 Mac 2025. Parlimen Pasir Gudang, Tebrau, Pulai, Iskandar Puteri, dan Kulai adalah antara yang terjejas teruk, dengan kawasan seperti Kangkar Tebrau, Bukit Mutiara, Skudai, dan Perling mencatat situasi paling kritikal, menurut Unit Tindak (UT) DAP Johor.
Kawasan Taman Tampoi Utama turut membuat sejarah apabila dilanda banjir kali pertama dalam tempoh 20 tahun. Meskipun banjir melanda dengan teruk, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, hanya kecederaan ringan dialami mangsa semasa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Di Perling, bekalan elektrik terpaksa diputuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Tenaga Nasional Berhad (TNB) apabila paras air mencecah 4 kaki, menyebabkan lebih 11,000 penduduk terkesan.
Respons Pantas Unit Tindak DAP Johor
Unit Tindak (UT) DAP Johor menjadi antara yang terawal bertindak dengan turun membantu mangsa sejak awal pagi 20 Mac 2025. Pasukan UT yang diketuai Koh Chia Heng meliputi kawasan Tebrau, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Pulai, dan Kulai. Sebanyak 50 sukarelawan UT terlibat dalam misi bantuan ini.
Salah satu kejadian kritikal berlaku di SK Tampoi Utama, di mana 39 murid dan guru terkandas hingga lewat malam 20 Mac. Pasukan UT bekerjasama dengan Bomba dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memindahkan mereka ke PPS dengan selamat.
Jawatankuasa DAP Johor turut menyumbang dana awal RM5,000 bagi membeli peralatan pembersihan, makanan untuk sukarelawan, dan keperluan lain demi memastikan kelancaran operasi UT. Selain itu, lapan tong RORO ditempah untuk membantu kerja pembersihan bersama SWM Environment, dan tiba di kawasan terjejas pada 22 Mac 2025. Bantuan makanan daripada orang awam juga berjaya dikumpul dan disalurkan kepada mangsa serta PPS.
Harapan dan Cabaran ke Depan
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Bin Ali, dan Koh Chia Heng dalam kenyataan bersama mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Johor atas pengumuman bantuan kewangan kepada mangsa banjir. Namun, mereka menegaskan bahawa tindakan segera daripada SWM dan pihak berkuasa tempatan (PBT) amat diperlukan untuk mempercepatkan pemulihan, terutama dengan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba minggu depan.
“Kerja pembersihan sampah dan pengangkutan perabot rosak yang bertimbun di hadapan rumah perlu segera ditangani. Kami bimbang timbunan ini boleh mendatangkan masalah kesihatan kepada penduduk jika tidak diselesaikan dengan cepat,” kata mereka.
UT DAP Johor komited untuk terus membantu mangsa banjir dan memastikan keadaan pulih secepat mungkin menjelang musim perayaan.