
PUTRAJAYA, 22 MAC 2025 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan bahawa bekalan telur ayam di Malaysia kekal stabil dan mencukupi untuk memenuhi keperluan domestik, sekaligus menyangkal kekeliruan yang timbul berikutan laporan media mengenai kenaikan harga telur ayam di Amerika Syarikat serta dakwaan berlakunya penyeludupan telur ke luar negara.
Menurut kenyataan rasmi KPKM, kerjasama rapat dengan pengeluar telur tempatan telah memastikan pengeluaran telur harian berada pada tahap yang stabil dan memadai. Pemantauan rapi turut dilaksanakan ke atas keseluruhan rantaian pengeluaran dan pengedaran telur, dari ladang hingga ke tangan pengguna, bagi menjamin bekalan sentiasa terpelihara.
Selain itu, langkah penguatkuasaan diperketat melalui kolaborasi strategik dengan agensi serta kementerian lain untuk memantau aktiviti pengeksportan bekalan makanan, bagi memastikan tiada kebocoran yang boleh menjejaskan ketersediaan di pasaran tempatan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dalam kenyataannya berkata, “Kerajaan kekal komited untuk memastikan keterjaminan makanan negara melalui dasar strategik yang menyeluruh, termasuk usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan dan menyokong industri agromakanan.”
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi tanpa asas serta merujuk saluran rasmi KPKM untuk maklumat sahih. KPKM juga berjanji untuk terus memantau situasi semasa dan mengambil tindakan segera jika perlu demi mengekalkan kestabilan bekalan makanan negara.