
KUALA LUMPUR, 22 Mac 2025 – Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) di bawah Kementerian Digital Malaysia hari ini mencapai 100 hari pertama dalam transformasi Malaysia yang dipacu AI.
Sejak peluncurannya pada 12 Disember 2024, NAIO telah berperanan sebagai pemangkin dalam membentuk landskap AI negara, mempercepat pembangunan sosioekonomi, serta mengukuhkan daya saing Malaysia di peringkat global. Dalam tempoh yang singkat ini, NAIO telah menggerakkan AI sebagai pemacu pertumbuhan negara yang berlandaskan empat tema strategik: AI untuk Masyarakat, AI untuk Ekonomi yang Lebih Kukuh, AI untuk Kepercayaan & Tadbir Urus, dan Bakat AI untuk Kemajuan Negara.
AI untuk Masyarakat
Dalam hanya 100 hari, AI telah mula memberi impak kepada kehidupan harian rakyat Malaysia. Daripada meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam dan menyokong penyedia penjagaan kesihatan dengan diagnostik berasaskan AI, hinggalah memperkenalkan penyelesaian AI yang memberi nilai tambah kepada para petani, NAIO sedang mengorak langkah untuk membawa manfaat nyata kepada masyarakat di seluruh negara.
“AI perlu berpaksikan masyarakat,” kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo. “Melalui kluster sektoral dan Kumpulan Kerja NAIO, kita memastikan AI diterap di tempat yang paling penting — dalam industri dan komuniti — bagi memastikan AI dapat diakses, inklusif dan memberi impak positif.”
AI untuk Ekonomi yang Lebih Kukuh
Sektor ekonomi Malaysia yang pelbagai dapat memanfaatkan AI untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi. Dalam tempoh 100 hari, NAIO telah memulakan kerjasama strategik bersama pemain industri utama dan pimpinan digital bagi mempercepatkan penerimagunaan AI dalam bidang seperti pertanian, pengangkutan, penjagaan kesihatan, perkhidmatan awam, pendidikan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Melalui pemacuan AI, penambahbaikan rantaian bekalan, dan operasi yang lebih pintar, kerjasama ini meletakkan asas kepada perniagaan Malaysia untuk memanfaatkan AI sebagai kelebihan daya saing di peringkat serantau dan global.
AI untuk Kepercayaan & Tadbir Urus
Kepercayaan menjadi asas kepada perjalanan AI negara. NAIO sedang melalui perkembangan yang progresif dalam pelaksanaan 7 Teras Utama, termasuk Rangka Tindakan Teknologi AI (2026–2030), Rangka Kawal Selia Penerimagunaan AI, dan Kod Etika AI. Usaha ini selari dengan inisiatif perlindungan data dan keselamatan siber oleh Kementerian Digital, dalam memperkukuh komitmen Malaysia terhadap ekosistem AI yang selamat, telus dan bertanggungjawab.
Bakat AI untuk Kemajuan Negara
NAIO telah memperluas penggunaan AI dalam perkhidmatan awam bagi memastikan perkhidmatan yang lebih efisyen dan fokus kepada rakyat. Melalui kerjasama dengan Google Cloud di bawah platform AI@Work for MyGovUC, lebih 400,000 penjawat awam merangkumi 23 kementerian, 201 agensi, dan 3 kerajaan negeri kini mendapat akses kepada AI.
Penggunaan AI ini membantu mempercepatkan automasi tugasan, mempertingkatkan penyelidikan, dan menambah baik proses membuat keputusan. Menurut laporan Jabatan Digital Negara (2024), penjawat awam jimat purata 3.25 jam seminggu, yang diterjemahkan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih responsif dan berkesan kepada rakyat.
NAIO juga memperkukuh kerjasama Quadruple Helix dalam pembangunan bakat AI. Usaha bersama Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi Konsortium Kecerdasan Buatan Malaysia (MAIC) dan Ekosistem AI Nexus bertujuan melahirkan bakat AI yang holistik dan bertanggungjawab demi memenuhi keperluan negara dan pertumbuhan ekonomi.
NAIO turut terlibat dalam Bengkel Rangka Kerja dan Garis Panduan Literasi Digital AI untuk Pelajar dan Guru anjuran Kementerian Pendidikan, yang bertujuan memperkenalkan asas pengetahuan AI dan etika digital dalam sistem pendidikan negara. Inisiatif ini berhasrat untuk membekalkan pelajar dan pendidik dengan kemahiran serta pemikiran berwawasan yang didorong AI secara yakin dan beretika. Malaysia juga berada di landasan untuk meningkatkan kemahiran tambahan 800,000 individu menjelang akhir tahun ini menerusi kerjasama strategik bersama Microsoft.
Menuju Masa Depan – Ke Arah Negara AI yang Mampan dan Inklusif
Mengulas pencapaian 100 hari NAIO, Gobind mengulangi aspirasi kerajaan untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju AI serantau. “Hasrat kami adalah untuk Malaysia menjadi bukan sekadar pengguna AI, tetapi pencipta dan inovator AI. Di mana AI akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti dan produktiviti tinggi.”
Menurut beliau lagi, “Ini hanyalah permulaan. Bersama-sama, kita akan terus membina Malaysia yang digerak oleh AI — di mana AI menjadi pemacu daya saing negara, pertumbuhan ekonomi, dan kesejahteraan masyarakat.”