
SEPANG, 21 Mac 2025 – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tuan Nga Kor Ming, semalam melancarkan Ops Siaga Raya 2025 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sempena Hari Raya Aidilfitri di IOI City Mall. Inisiatif ini bertujuan menyusun strategi awal bagi menghadapi insiden kecemasan sepanjang musim perayaan yang bakal tiba.
Dalam ucapannya, Nga menekankan peranan penting komuniti, pemilik premis, pengusaha badan air, dan pengguna jalan raya dalam memastikan keberkesanan strategi JBPM.
“Lima aspek utama perlu diberi perhatian serius: penglibatan dalam Bomba Komuniti atau Pasukan Bomba Sukarela, pematuhan undang-undang keselamatan kebakaran, latihan kecemasan berkala, keselamatan di badan air, serta kesedaran keselamatan jalan raya,” katanya.
Beliau menambah, risiko keselamatan seperti kebakaran, kemalangan di air, dan jalan raya meningkat pada musim perayaan, sekali gus memerlukan tindakan proaktif untuk mengurangkan insiden. Beliau turut menegaskan agar pemilik premis mematuhi piawaian keselamatan tanpa menunggu arahan JBPM, termasuk pemeriksaan sistem penggera dan penyelenggaraan berkala.
Menurut data JBPM, sebanyak 19,661 pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) dijalankan pada 2024, dengan 9,998 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Untuk 2025, JBPM mensasarkan 18,000 pemeriksaan, dan sehingga Februari lalu, 1,757 pemeriksaan (10%) telah dilaksanakan.
Majlis ini turut menyaksikan tiga pusat beli-belah menerima Sijil Perakuan Bomba (FC), manakala tiga syarikat konsesi lebuh raya dianugerahi sijil penghargaan atas kerjasama dalam keselamatan jalan raya. Selain itu, tiga premis kategori kedai dan tiga premis Bukan Premis Ditetapkan yang mencatat sifar notis dalam lima tahun terakhir turut diiktiraf, bersama tiga resort/chalet yang mematuhi garis panduan Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA).
Acara diakhiri dengan pelepasan Pasukan Ops Siaga Raya Aidilfitri oleh YB Nga, disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Wira M Noor Azman Taib, dan Ketua Pengarah JBPM, YAS Dato’ Ts. Nor Hisham Mohammad, sebagai simbolik perasmian.