
PUTRAJAYA, 20 MAC 2025 – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, merasmikan Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Dewan Kristal, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), petang semalam.
Dengan bertemakan “Prihatin dan Kebersamaan #Demi Pertiwi”, sambutan yang diadakan setiap 20 Mac ini bertujuan mengiktiraf hubungan antara pembangunan fizikal, sosial, dan alam sekitar dalam usaha memastikan kebahagiaan serta kesejahteraan penduduk dunia. Di peringkat nasional, tahap kebahagiaan penduduk dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diukur melalui Indeks Kebahagiaan di bawah Program Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia (MURNInets), yang diselia oleh KPKT melalui PLANMalaysia.
Indeks Kebahagiaan ini mengukur tahap kesejahteraan penduduk berdasarkan aspek kesihatan, kesejahteraan mental dan fizikal, serta kualiti perkhidmatan PBT seperti kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal, dan kutipan sampah yang cekap.
Daripada 153 PBT di Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Kuala Lumpur, dan Labuan), Sabah, serta Sarawak yang menyertai Kajian Indeks Kebahagiaan, sebanyak 115 bandar (75%) mencapai status bahagia, manakala 38 bandar (25%) berada pada tahap sederhana bahagia.
Dalam majlis tersebut, YB Nga Kor Ming menyampaikan 20 Anugerah Bandar Paling Bahagia Tahun 2025 mengikut kategori berikut:
Bandar Paling Bahagia (Kategori Majlis Daerah)
i. Bandar Lipis, Pahang
ii. Cameron Highlands, Pahang
iii. Bandar Kuala Krai, Kelantan
iv. Bandar Baharu, Kedah
v. Bandar Kuala Pilah, Negeri Sembilan
vi. Bandar Jerantut, Pahang
vii. Bandar Jelebu, Negeri Sembilan
viii. Bandar Telupid, Sabah
Bandar Paling Bahagia (Kategori Majlis Bandaraya/Perbandaran)
i. Bandar Bintulu, Sarawak
ii. Bandar Temerloh, Pahang
iii. Bandaraya Johor Bahru, Johor
iv. Bandaraya Diraja Klang, Selangor
v. Bandar Port Dickson, Negeri Sembilan
vi. Bandar Jasin, Melaka
vii. Bandar Pontian, Johor
viii. Bandar Ampang Jaya, Selangor
ix. Bandar Batu Pahat, Johor
x. Bandaraya Melaka Bersejarah, Melaka
xi. Bandaraya Petaling Jaya, Selangor
xii. Bandar Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya
Beliau turut melancarkan Laporan Kebahagiaan Bandar Malaysia 2025 yang memaparkan pencapaian Indeks Kebahagiaan merangkumi 14 bidang yang diukur melalui MURNInets. Laporan ini menjadi rujukan penting kepada Pihak Berkuasa Negeri dan PBT untuk mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Data menunjukkan Indeks Kebahagiaan Malaysia meningkat sebanyak 5 mata dalam tempoh lima tahun, iaitu dari 83.34% pada 2020 kepada 88.84% pada 2025. Inisiatif ini selari dengan Sustainable Development Goals (SDG) global, khususnya SDG 11 (Sustainable Cities and Communities), serta menyokong agenda Malaysia MADANI untuk membentuk bandar yang bahagia, sejahtera, mampan, dan selamat.