
PUTRAJAYA, 21 Mac 2025 – Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan, mengucapkan selamat menyambut Hari Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Perkauman sambil menegaskan bahawa hari ini bukan sekadar peringatan, tetapi juga simbol komitmen kukuh di peringkat global dan nasional untuk membanteras perkauman, diskriminasi kaum, penghinaan berunsur perkauman serta prasangka yang boleh mengancam keharmonian masyarakat.
Dalam satu hantaran di Halaman X rasminya, beliau menekankan bahawa pengurusan isu dan cabaran berkaitan perpaduan memerlukan pendekatan serta inisiatif berterusan bagi memastikan keharmonian sosial terus terpelihara. Menurut Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2022, nilai perpaduan nasional mencatatkan 0.629, menunjukkan tahap sederhana dan terkawal. Bagaimanapun, beliau menyenaraikan 10 defisit sosial yang perlu diberi perhatian iaitu etnisiti, agama, kelas sosial, pendidikan, bahasa, jurang generasi, gender, politik federalisme, media serta ruang bandar-desa.
“Memahami isu dan cabaran perpaduan atau defisit sosial adalah penting untuk mempersiapkan semua pihak dalam menghadapi pelbagai kemungkinan yang boleh mencetuskan kekacauan dan menggugat perpaduan,” ujar Datuk Aaron.
Beliau turut menegaskan bahawa diskriminasi dalam apa jua bentuk tidak seharusnya wujud dalam masyarakat Malaysia kerana ia boleh merosakkan asas perpaduan yang telah dibina selama ini.
“Saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama menolak sikap prejudis, stereotaip negatif dan sebarang bentuk ketidakadilan yang berasaskan kaum atau agama,” tambahnya.
Hari Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Perkauman yang disambut pada 21 Mac setiap tahun menjadi peringatan kepada semua untuk terus memperkukuh perpaduan dan harmoni dalam kalangan rakyat pelbagai kaum serta agama.