
KUALA LUMPUR, 20 MAC 2025 – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah, hari ini berpeluang menyertai Program Ziarah Sahur Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2025 yang berlangsung di Rumah Perantara AADK Wilayah Persekutuan, Kampung Bharu, Kuala Lumpur.
Program anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui AADK ini bertujuan untuk menyantuni klien AADK yang sedang menjalani program rawatan dan pemulihan dalam komuniti (RPDK) serta klien di bawah Post Continuum Care Programme. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mendekati golongan yang memerlukan sokongan dalam usaha pemulihan daripada penagihan dadah.
Menurut kenyataan AADK, objektif utama Program Ziarah Sahur ini adalah untuk memberikan sokongan kepada klien AADK, meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan dadah, serta mempromosikan program pemulihan yang ditawarkan oleh agensi tersebut. Selain itu, program ini juga bertujuan menggalakkan penglibatan aktif komuniti dalam memerangi isu penyalahgunaan dadah di negara ini.
Seramai 59 klien AADK dari sekitar Kuala Lumpur yang menerima perkhidmatan Rumah Perantara AADK Wilayah Persekutuan turut hadir dalam program ini. Rumah Perantara tersebut mula beroperasi pada Februari 2024 dan sehingga kini, lebih 400 klien telah mendapat manfaat daripada kemudahan tersebut, hasil kerjasama erat dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Pelbagai aktiviti dan program telah dijalankan di fasiliti ini, termasuk program psikospritual, psikopendidikan, bimbingan, kesihatan bersama Kementerian Kesihatan, serta majlis ilmu yang melibatkan pelbagai pihak, termasuk MAIWP.
Program Ziarah Sahur AADK 2025 ini dilihat sebagai satu langkah positif dalam memperkukuh komitmen kerajaan untuk membantu golongan yang terjebak dengan masalah dadah kembali ke pangkuan masyarakat sebagai individu yang produktif.