

19 Mac 2025, Perak- Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menerima kritikan keras daripada Ketua Biro Dasar Awam DAPSY Kebangsaan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka, Perak, Jason Ng Thien Yeong, ekoran sikap parti itu yang menentang cadangan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun serta kegagalan mereka menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen.
Dalam kenyataan medianya semalam, Jason Ng menyifatkan tindakan PAS sebagai bertentangan dengan prinsip demokrasi yang menjadi tunjang negara.
“Tindakan PAS ini umpama meludah ke langit, akhirnya terkena muka mereka sendiri kerana mereka pernah menyokong agenda reformasi ini pada masa lalu,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Madani sedang melaksanakan agenda reformasi secara berperingkat, termasuk cadangan had dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri demi memastikan tadbir urus yang lebih telus dan bertanggungjawab. Selain itu, pindaan Perlembagaan dan penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen turut diusulkan untuk mengembalikan autonomi Parlimen. Namun, Jason melahirkan kesal terhadap PAS yang kini dilihat bercanggah dengan pendirian mereka sendiri pada era 1990-an.
Menurut beliau, PAS pernah memperjuangkan had tempoh jawatan Perdana Menteri dalam manifesto Barisan Alternatif pada tahun 1990-an, namun kini sanggup menggadaikan prinsip tersebut demi kepentingan politik semata-mata.
“PAS hari ini menunjukkan sikap konservatif dan ekstrim, malah sanggup menafikan pendirian asal mereka sendiri,” katanya sambil merujuk kepada kegagalan PAS menyokong pindaan Perlembagaan dalam sesi Parlimen terbaru.
Jason turut menekankan bahawa inti pati demokrasi moden ialah sistem semak dan imbang, di mana pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri serta autonomi Parlimen menjadi langkah penting untuk mencegah penyalahgunaan kuasa dan membanteras rasuah.
Beliau juga mengkritik Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menggunakan analogi sistem khalifah untuk menentang cadangan ini.
“Hadi Awang mengabaikan perbezaan asas antara sistem khalifah dan demokrasi moden yang diamalkan di Malaysia. Kita memerlukan sistem pemerintahan yang seimbang, bukan pemerintahan seumur hidup,” ujarnya.
Tambah Jason, PAS turut cuba memutarbelitkan isu ini dengan mencampuradukkan agama dan politik, termasuk memfitnah DAP sebagai anti-Islam. Beliau menempelak dakwaan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi, yang menyifatkan cadangan had tempoh jawatan sebagai usaha “golongan minoriti” untuk melemahkan Perlembagaan.
“Dakwaan ini tidak berfakta dan hanya bertujuan mencetuskan perpecahan kaum,” tegasnya.
.