
KUALA LUMPUR, 20 MAC 2025 – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) pada hari ini mengumumkan pelantikan baharu barisan Anggota Perbadanan bagi penggal 2025/2027, yang akan bermula secara rasmi pada 21 Mac 2025 untuk tempoh dua tahun. Pelantikan ini menggantikan keanggotaan penggal 2023/2025 yang tamat pada hari ini, 20 Mac 2025.
Pelantikan ini selari dengan kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Belia dan Sukan (KBS) di bawah Bahagian II, Seksyen 6(1), (2) dan (3), Akta Perbadanan Stadium Malaysia 2010 (Akta 717), untuk melantik 16 orang Anggota Perbadanan.
Dalam penggal baharu ini, Datin Anita Azrina Abdul Aziz, bekas Pengurus Besar Kanan Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, mencatat sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Pengerusi PSM.
Timbalan Pengerusi PSM pula dipegang oleh Datuk Seri Windsor Paul John, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Antara nama-nama lain dalam barisan Anggota Perbadanan 2025/2027 termasuk Dato’ Ts Dr. Nagulendran Kangayatkarasu (Ketua Setiausaha KBS), Encik Zahir Kelvin Ong Abdullah (Pengarah Eksekutif Venus Assets Sdn Bhd), dan Encik Aaron Sarma (Pengasas Bersama ScaleUp Malaysia dan Remote Ventures).
Senarai lengkap juga merangkumi Encik Rubin Khoo Bu Boen (Wakil Korporat Media dan Komunikasi), Puan Yap Hui Kun (Bendahari Kehormat Persekutuan Renang Malaysia), Dr. Teh Lah Hoong (Setiausaha Kehormat Persatuan Gimnastik Malaysia), Encik Selvendran Saravanamuthu (Bendahari Kehormat Konfederasi Hoki Malaysia), dan Encik Monteiro Gerard Clair (Presiden Persatuan Skuasy Malaysia).
Turut disenaraikan ialah Dato’ Haji Mohd Azhar bin Jamaluddin (Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia), Encik Iliyas Jamil (Ketua Pegawai Eksekutif PSM), Datuk Dr. Khairus Masnan bin Abdul Khalid (Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri), Encik Muhammad Hazrul bin Ismail (Ketua Seksyen Bahagian Dasar Saraan dan Pengurusan Kementerian Kewangan), Ir. Mohamad Darus bin Selamat (Jurutera Awam Penguasa Kanan JKR), dan Encik Asdirhyme bin Abdul Rasib (Setiausaha Bahagian Tenaga Lestari Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air).
PSM menyatakan komitmennya untuk terus memperkukuh tatakelola pengurusan dan penyeliaan kemudahan serta fasiliti di bawah jagaannya demi manfaat rakyat Malaysia. Dalam pada itu, jutaan terima kasih diucapkan kepada barisan Anggota Perbadanan sesi 2023/2025, khususnya Dato’ Gerald Hans Isaac, Pengerusi PSM 2023/2025, atas sumbangan dan khidmat bakti mereka.
Terdahulu, Hans Isaac, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
Keputusan beliau yang diumumkan menerusi platform media sosial Instagram menandakan berakhirnya tempoh dua tahun menerajui badan pengurusan stadium negara.
Hans juga ucapkan rasa terima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh atas kepercayaan dan peluang yang diberikan sepanjang memimpin PSM.