
Kredit Foto : Halaman X Menteri Komunikasi
KUALA LUMPUR, 19 MAC 2025 – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Badan Bertindak Flat Sri Pahang bagi membincangkan usaha pemindahan penyewa ke unit kediaman baharu. Langkah ini bertujuan memastikan semua penduduk dapat menikmati kediaman yang lebih selesa dan selamat.
Bagaimanapun, sehingga kini, kira-kira 200 unit masih berdepan dengan isu tunggakan pembayaran kepada pemaju dan DBKL, yang menjadi halangan untuk mereka layak menerima rumah ganti. Fahmi berkata beliau telah meminta bantuan bahagian kewangan DBKL untuk mencari penyelesaian bagi memastikan tiada penduduk yang tertinggal dalam proses ini.
“Saya menyokong penuh usaha Badan Bertindak Flat Sri Pahang untuk membantu dan memudahkan proses ini, sambil meminta DBKL meneruskan pemindahan bagi penyewa yang layak,” kata Fahmi yang juga merupakan Ali Parlimen Lembah Pantai dalam satu hantaran di halaman X. Beliau menegaskan harapan agar kerjasama semua pihak dapat memastikan penduduk memiliki rumah sendiri.
Untuk memastikan kelancaran pelaksanaan, Fahmi turut mengarahkan DBKL, Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, pihak pemaju, dan Badan Bertindak Flat Sri Pahang mengad Οιkan mesyuarat setiap dua minggu bagi menyelesaikan sebarang isu yang timbul.
“Saya akan terus memantau perkembangan ini demi memastikan kemaslahatan dan kebajikan penduduk kekal menjadi keutamaan,” tambah beliau.