
Kredit Foto : FB Menteri Dalam Negeri
BANDAR BAHARU, 18 Mac 2025 – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, malam tadi telah menyertai Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam meneruskan program menghidupkan Ramadan di Masjid Al-Islah, Kampung Permatang Kerat Telunjuk, Bandar Baharu, Kedah. Program ini turut diserikan dengan sambutan Nuzul Quran yang dihadiri oleh pelajar-pelajar tahfiz serta masyarakat setempat.
Dalam majlis tersebut, Datuk Seri Saifuddin Nasution menyampaikan sumbangan al-Quran kepada wakil 18 buah masjid di sekitar Bandar Baharu. Beliau turut memuji usaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan dalam memastikan kepatuhan terhadap Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 melalui Ops Mulia, selain melaksanakan Program Pemuliaan al-Quran bagi pelupusan naskhah yang rosak atau tidak sah.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Ops Mulia mencatatkan pencapaian cemerlang sehingga kini. Berdasarkan statistik yang dikongsinya, sebanyak 794 premis telah diperiksa dengan sitaan bernilai RM502,737, melibatkan 19,682 bahan al-Quran dan 734 naskhah al-Quran, serta pembukaan 88 kertas siasatan. Untuk tahun 2024 pula, 822 premis diperiksa dengan nilai sitaan mencecah RM2.7 juta, di samping penyitaan 8,212 naskhah al-Quran dan 11,694 bahan al-Quran, serta 160 kertas siasatan dibuka.
Beliau menyeru orang ramai supaya hanya mendapatkan naskhah al-Quran yang diperakui KDN bagi menjamin kesahihan dan kesuciannya. “Ini penting untuk memastikan teks suci al-Quran terus terpelihara,” katanya.
Datuk Seri Saifuddin turut mengucapkan terima kasih kepada qariah Masjid Al-Islah, penduduk Kampung Permatang Kerat Telunjuk, serta Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan atas kerjasama dalam menjayakan program tersebut.