
Kredit Foto : Halaman X Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa
KUALA LUMPUR, 18 Mac 2025 – Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengumumkan kejayaan luar biasa dalam Pemilihan KEADILAN 2025, apabila lebih 17,500 pencalonan diterima daripada 222 cabang di seluruh negara. Menurut JPP, penyertaan besar-besaran ini menjadi cerminan komitmen kukuh anggota parti dalam memastikan proses demokrasi dalaman kekal matang, inklusif dan telus.
Proses penamaan calon yang ditutup pada 16 Mac 2025 menjadi titik penting dalam perjalanan pemilihan kali ini. Seterusnya, fasa bantahan terhadap calon akan bermula pada 18 Mac 2025 (12.00 tengah hari) dan berakhir pada 20 Mac 2025 (11.59 malam). Proses rayuan pula akan dibuka selama dua hari, iaitu pada 24 hingga 25 Mac 2025, bagi menjamin keadilan kepada semua pihak yang bertanding.
Bagi calon yang berhasrat menarik diri atau membatalkan pencalonan, peluang diberikan sehingga 20 Mac 2025. Selepas semua proses selesai, senarai muktamad calon untuk Cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang dan Wanita Cabang akan diumumkan secara rasmi pada 28 Mac 2025.
Pengerusi JPP, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, dalam kenyataannya menyatakan penghargaan kepada semua anggota parti yang terlibat atas semangat dan dedikasi mereka.
“Penyertaan yang begitu ramai ini membuktikan KEADILAN terus menjadi platform perjuangan yang demokratik dan terbuka kepada semua peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau turut menasihati calon dan penyokong agar mematuhi tatacara pemilihan yang ditetapkan demi menjaga kelancaran dan keharmonian proses ini. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi pemilihan.keadilanrakyat.org atau mengikuti perkembangan di Facebook dan TikTok Pemilihan KEADILAN 2025.