
Oleh: Bazli Razak
TANJUNG MALIM, 17 Mac 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal menganjurkan Seminar Tatakelola Kebangsaan 2025 (STAKE ’25) bagi membincangkan isu-isu kritikal berkaitan tatakelola kecerdasan buatan (AI) dalam sektor awam dan swasta.
Seminar yang dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 26 Jun 2025 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur ini juga bertujuan bagi merangka dasar komprehensif bagi memastikan teknologi tersebut diterapkan secara beretika dan bertanggungjawab.

Ketua Unit Integriti UPSI, Encik Ilmizan Ismail, berkata seminar ini amat penting dalam usaha memastikan penggunaan AI dalam sektor awam dikawal selia dengan baik serta mematuhi prinsip tadbir urus yang kukuh.
“Dalam era digital yang pesat berkembang, AI memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan dan ketelusan pentadbiran awam.
“STAKE ’25 akan menjadi platform bagi pertukaran idea antara pakar akademik, pembuat dasar, serta pemimpin industri dalam membentuk ekosistem AI yang selaras dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti.
“Namun, kita juga perlu memastikan bahawa penggunaannya selari dengan prinsip integriti dan akauntabiliti. STAKE ’25 akan menjadi wadah untuk membincangkan mekanisme terbaik dalam menangani cabaran ini.
Beliau turut menekankan kepentingan kesedaran dalam kalangan pemimpin sektor awam dan swasta mengenai potensi serta risiko AI.
“Tatakelola AI bukan sekadar soal pematuhan terhadap undang-undang, tetapi juga melibatkan tanggungjawab moral dan etika dalam membuat keputusan berasaskan data.
“Setiap organisasi perlu memastikan bahawa AI digunakan secara bertanggungjawab dan tidak membawa kepada ketidakseimbangan atau diskriminasi dalam masyarakat.
Menurutnya lagi, STAKE ’25 juga akan memberi peluang kepada peserta untuk memahami lebih lanjut aspek keselamatan siber dan perlindungan data dalam era kecerdasan buatan.
“Kita perlu memastikan bahawa sistem AI yang digunakan selamat dan tidak terdedah kepada ancaman keselamatan.
“Isu privasi data dan keselamatan maklumat perlu ditangani dengan serius bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan yang boleh memberi impak negatif kepada sektor awam dan rakyat secara keseluruhannya.
Seminar ini dianjurkan dengan kerjasama Unit Integriti, Bahagian Audit Dalam, Bahagian Perundangan, serta Bahagian Pengurusan Risiko & Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UPSI.
Majlis perasmian seminar bakal menyaksikan ucaptama oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang akan mengupas kepentingan tatakelola AI dalam sektor awam serta cabaran yang perlu ditangani dalam penggunaannya.
Sepanjang dua hari penganjurannya, seminar ini akan menampilkan sesi perbincangan mendalam termasuk topik seperti “Menghadapi Realistik: Ketika Imej Tercalar Dek Integriti Tercabar”, “Mendepani Cabaran Integriti dalam Teknologi Tanpa Kawalan: Solusi dan Strategi”, serta “Cabaran Penguatkuasaan Undang-Undang Privasi dalam Era Big Data dan AI”.
Selain itu, seminar ini turut menyediakan sesi strategi praktikal seperti “Strategi Pengurangan Risiko AMLA dalam Era Digital”, “Mengukuhkan Ketelusan dan Akauntabiliti melalui Proses Audit”, serta “Memecah Ketidakpastian: Strategi Pengurusan Risiko yang Berkesan dalam Dunia yang Kompleks”.
Kemuncak seminar ini adalah forum bertajuk “Cabaran Tadbir Urus di Era Kecerdasan Buatan: Amalan Terbaik untuk Tadbir Urus Beretika”, yang akan mempertemukan pemimpin industri, pembuat dasar dan akademia bagi merangka langkah strategik ke arah penerapan AI yang beretika.
“UPSI berharap penganjuran STAKE ’25 akan menjadi titik tolak dalam memperkukuh pemahaman dan pelaksanaan tatakelola AI di Malaysia, terutama dalam sektor awam, serta merangka strategi berkesan bagi memastikan penggunaannya sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban,” ujar beliau.