
JOHOR BAHRU, 17 Mac 2025 – Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib bin Ali, mengecam tindakan pembangkang, khususnya Perikatan Nasional (PN), yang didakwa cuba mengelirukan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berhubung cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.
Beliau merujuk kepada hantaran Facebook Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang memuatkan pandangan negatif terhadap kenyataan Loke. Dalam hantaran bertarikh 16 Mac 2025 di laman Facebook (https://www.facebook.com/share/p/1GEr1qFaLk/), Afnan mendakwa cadangan itu mencerminkan “nasib majoriti ditentukan oleh minoriti”, yang disifatkan Sheikh Umar sebagai usaha menyebarkan ketakutan tidak berasas.
“Pandangan Afnan langsung tidak tepat. Samada beliau sengaja mencipta propaganda murahan atau benar-benar naif, kenyataan Loke terlalu jauh daripada apa yang ditafsirkan,” tegas Sheikh Umar dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, cadangan yang disokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertujuan mengelakkan pentadbiran berpanjangan yang boleh membawa kepada kezaliman, salah guna kuasa, dan pembentukan diktator.
“Ini untuk menutup ruang ‘mafsadah’ akibat pemusatan kuasa terlalu lama,” katanya, sambil menegaskan bahawa pendekatan ini bukan perkara baharu dan telah dilaksanakan di negara seperti Indonesia dan Amerika Syarikat, yang menetapkan had dua penggal.
Sheikh Umar turut menyeru agar cadangan ini diperkukuh dengan pembaharuan lain, seperti pengasingan kuasa kehakiman serta pemisahan tugas Peguam Negara dan Pendakwa Raya, selari dengan sokongan Loke terhadap pindaan Perlembagaan. “Inilah intipati reformasi yang diperjuangkan Anwar Ibrahim bersama DAP dan Pakatan Harapan,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menyuarakan kekecewaan terhadap pembangkang yang didakwa gagal memahami isu secara holistik dan masih terperangkap dalam pemikiran sempit berasaskan perkauman.
“Usaha membawa perubahan ini jelas tidak difahami PN, malah mereka masih tidak mampu keluar dari corak pemikiran lama,” katanya.
Hantaran Afnan yang dipersoalkan itu mendapat perhatian ramai, namun Sheikh Umar menegaskan bahawa tuduhan pembangkang hanyalah cubaan untuk mengaburi rakyat daripada matlamat sebenar cadangan tersebut. Beliau menyeru rakyat menilai sendiri inisiatif ini sebagai langkah ke arah tadbir urus yang lebih telus dan adil.