
Kredit Foto : FB rasmi Syahredzan Johan
SHAH ALAM, 16 Mac 2025 – Kongres Kebangsaan Parti Ke-18 DAP serta pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti telah selesai diadakan semalam, dengan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, berjaya terpilih sebagai ahli CEC untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Beliau turut dilantik sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan DAP oleh CEC, satu tanggungjawab yang diterima dengan komitmen penuh untuk memastikan parti itu kekal menjadi pilihan utama rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang bangsa dan agama.
“Terima kasih kepada para perwakilan yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menyertai CEC DAP. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada CEC atas pelantikan ini. Insya-Allah, saya akan melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin demi memajukan DAP,” kata Syahredzan dalam satu hantaran di Facebook rasminya.
Pelantikan beliau sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan DAP dalam landskap politik negara, selari dengan usaha parti itu untuk terus meraih sokongan rakyat pelbagai kaum.
Di dalam pemilihan semalam, Syahredzan menduduki tempat ke 20 dengan memperolehi 2,065 undi.