
Kejadian baru-baru ini di Johor Bahru telah mencetuskan rasa kesal di hati ramai, apabila seorang lelaki bukan Islam diserang hanya kerana makan pada siang hari di bulan mulia ini. Tindakan agresif tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencemarkan wajah Islam yang sebenarnya menjunjung tinggi keamanan, toleransi, dan penghormatan terhadap semua individu tanpa mengira latar belakang agama.
Menurut Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid insiden itu bukanlah kes terpencil.
“Di Kajang pula, seorang pelajar berusia 17 tahun menjadi mangsa keganasan apabila dipukul oleh lelaki berusia 39 tahun gara-gara pertelingkahan kecil di jalan raya, sehingga remaja itu mengalami patah hidung dan memerlukan rawatan perubatan. Kejadian-kejadian sebegini menimbulkan persoalan serius: Mengapa Ramadan, yang bertujuan melatih kesabaran dan disiplin diri, sebaliknya menyaksikan sikap kemarahan dan ketidaktoleransi dalam kalangan segelintir individu?” soal Syerleena.
Tambahnya, Ramadan adalah bulan di mana peluang diberikan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui kesabaran, kebaikan, dan belas kasihan.
“Ia bukan alasan untuk membenci atau menghukum orang lain. Seorang Muslim yang berpuasa sepatutnya mencontohi Rasulullah SAW, yang menghadapi cabaran dengan penuh kesabaran dan maruah, bukannya bertindak ganas atas perkara remeh. Jika sekadar melihat seseorang makan sudah cukup untuk mencetuskan kemarahan, apakah erti sebenar ibadah yang kita jalani?
Malaysia, sebuah negara berbilang kaum dan budaya, dibina atas asas saling hormat dan harmoni. Tindakan segelintir individu tidak mencerminkan keseluruhan umat Islam, namun ia menjadi peringatan bahawa kejahilan dan sikap panas baran boleh mencetuskan konflik yang tidak perlu. Ramadan sepatutnya menjadi peluang untuk kita mengawal emosi, bukan membiarkan nafsu menguasai tindakan.” katanya.
Lebih membimbangkan, terdapat trend menganggap diri betul (self-righteousness) yang berselubung di sebalik ‘kewarakan agama’.
“Segelintir individu bertindak ganas atas nama mempertahankan Islam, namun cara mereka bertentangan dengan ajaran sebenar agama kita. Islam mengajar belas kasihan, bukan permusuhan. Al-Quran menegaskan, “Tidak ada paksaan dalam agama” (Surah Al-Baqarah, Ayat 256), dan Rasulullah SAW menunjukkan teladan mulia dalam melayan semua golongan dengan penuh kebijaksanaan.
Kepada umat Islam, marilah kita renungkan: Adakah iman kita begitu lemah sehingga tergugat dengan perbuatan orang lain? Ramadan adalah masa untuk mendisiplinkan diri, bukan menghakimi pilihan orang lain. Jika puasa tidak menjadikan kita lebih sabar dan penyayang, maka apakah yang telah kita pelajari? Mari kita jadikan Ramadan ini sebagai titik tolak untuk memperbaiki diri, mengamalkan toleransi, dan menzahirkan keindahan Islam melalui perbuatan mulia, bukannya kemarahan yang sia-sia.” ujarnya.