
KUALA LUMPUR, 16 Mac 2025 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan Program Iftar @ KL selama empat hari, iaitu pada 15, 16, 22 dan 23 Mac 2025, bertempat di Jalan Raja, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Program ini turut melibatkan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akan mengambil alih pelaksanaan pada minggu berikutnya. Memasuki hari kedua Iftar @ KL 2025, majlis hari ini diserikan dengan kehadiran YM Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agro Bank, serta Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah JKKN.
Selain pengedaran bubur lambuk kepada pengunjung, Agro Bank, selaku salah satu penaja utama, turut menyumbangkan bantuan kepada golongan asnaf dan anak yatim. Pengunjung juga dihidangkan dengan ceramah Ramadan oleh Da’i Aiman serta persembahan memukau daripada kumpulan Rabbani.
Iftar @ KL anjuran JKKN ini merupakan usaha sama dengan rakan strategik seperti DBKL dan Kelab Warisan Seni Samudera, disokong oleh pelbagai agensi termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Persatuan Pengusaha Food Truck Kuala Lumpur, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri, Tourism Malaysia, Peniagawati, serta Jabatan Perangkaan Malaysia.
Program ini bertujuan memeriahkan bulan Ramadan sebagai bulan ibadah dan keprihatinan, mempererat silaturahim serta toleransi antara kaum, mempromosikan kebudayaan dan kesenian Islam kepada pelancong tempatan mahupun antarabangsa melalui Pelancongan Budaya, serta menyemai nilai murni melalui aktiviti gotong-royong dan sukarelawan melibatkan pelajar IPT, NGO, dan individu.
Kali ke-13 diadakan sejak 2012, Iftar @ KL tahun ini menawarkan pengalaman berbuka puasa di tengah jalan Dataran Merdeka, lengkap dengan Program Jom Exchange Al-Quran—kerjasama Kementerian Dalam Negeri untuk menukar Al-Quran tidak diluluskan dengan yang telah disahkan. Turut memeriahkan program ialah aktiviti seperti penyediaan bubur lambuk, solat berjemaah, tadarus Al-Quran, tazkirah Ramadan, bicara Ramadan, kaunter zakat fitrah, serta jualan makanan food truck.
Sokongan korporat turut diterima daripada Pusat Pungutan Zakat, Agro Bank, Felda Global Ventures (FGV), Suria FM, Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Bank Simpanan Nasional (BSN), serta penaja seperti F&N, Vida, ADABI, dan Boh Plantation Sdn. Bhd., menjadikan Iftar @ KL 2025 lebih bermakna dan meriah.