

PUTRAJAYA, 12 Mac 2025 – Operasi Khas Pagar Laut Siri 1/2025 telah rasmi dilancarkan hari ini di atas Kapal KM Tun Fatimah oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Operasi penting ini dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di seluruh perairan negara bertujuan memastikan keselamatan maritim terus terjamin.
Menurut Saifuddin, operasi itu akan dilaksanakan di seluruh kawasan perairan Malaysia dengan fokus utama untuk mengekang dan memerangi jenayah rentas sempadan, terutamanya di kawasan ‘hotspot’ sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.
Ops Pagar Laut kali ini dijadualkan berlangsung sehingga 1 Syawal dan akan diteruskan selama dua minggu selepas itu, merangkumi empat fasa utama iaitu:
Fasa Pengumpulan Maklumat
Fasa Penguatkuasaan Sebelum Perayaan
Fasa Penguatkuasaan Selepas Perayaan
Fasa Penilaian (Post Exercise Debrief – PXD)
Beliau turut memaklumkan bahawa sejak dilaksanakan dari tahun 2020 hingga 2024, Ops Pagar Laut telah mencatat kejayaan membanggakan dengan penumpasan 251 kes jenayah maritim dan rampasan bernilai hampir RM110 juta.
“Ini membuktikan keberkesanan operasi dalam membanteras jenayah maritim yang boleh mendatangkan kerugian besar kepada negara,” ujar Saifuddin.
Selepas majlis pelancaran, Saifuddin turut berkesempatan berbuka puasa bersama anggota APMM di atas kapal tersebut.
“Bukan selalu dapat merasai pengalaman beriftar di tengah lautan bersama wira-wira yang bertugas menjaga perairan negara,” katanya sambil meluahkan rasa syukur atas pengalaman tersebut.
Dalam ucapannya, beliau menyampaikan penghargaan kepada APMM serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan operasi ini.
“Saya doakan semoga anggota APMM yang bertungkus-lumus menjaga keselamatan negara sentiasa diberikan kekuatan, kesihatan yang baik, serta dilindungi daripada sebarang bahaya,” tambahnya.
Pelancaran Ops Khas Pagar Laut tersebut menzahirkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keselamatan maritim, khususnya pada musim perayaan yang sering menjadi tumpuan aktiviti jenayah rentas sempadan.