

Kuala Lumpur, 13 Mac 2025 – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Delivery Hero Malaysia Sdn Bhd, yang lebih dikenali sebagai foodpanda, di Ibu Pejabat Menara PERKESO, Kuala Lumpur. Inisiatif ini bertujuan memperluaskan perlindungan sosial kepada pekerja gig di seluruh Malaysia.
Majlis menandatangani MoU itu mendedahkan statistik bahawa daripada 1.16 juta pekerja gig di negara ini, hanya 26% yang mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). Namun, sektor ini mencatatkan kadar tuntutan faedah tertinggi daripada PERKESO, menyerlahkan keperluan mendesak untuk perlindungan yang lebih meluas.
Melalui kerjasama ini, foodpanda menyumbang RM200,000 untuk menampung baki 10% caruman bagi program SPS Padanan Caruman 2.0. Sumbangan ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 8,000 penghantar makanan, menyokong usaha memastikan kebajikan pekerja gig terjamin selari dengan prinsip Prihatin dan Ihsan dalam gagasan Malaysia MADANI.
Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong, dalam ucapannya menyatakan harapan agar inisiatif ini menjadi contoh kepada syarikat lain. Beliau turut menekankan komitmen kerajaan yang menambah RM86.2 juta kepada dana asal RM100 juta bagi SKSPS sebagai bukti kesungguhan memperkukuh skim tersebut.
Sementara itu, Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Tan Ming Luk, menegaskan komitmen syarikat terhadap kebajikan rakan penghantaran melalui program panda hearts. Program ini memberi tumpuan kepada lima aspek utama iaitu keselamatan, kesejahteraan, pembangunan peribadi, komuniti, dan kebajikan.
MoU ini dilihat sebagai langkah signifikan dalam memupuk kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta untuk memperkukuhkan ekonomi gig serta meningkatkan perlindungan sosial pekerja, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI.